Harta yang diperoleh dari sumber halal memberi
keberkatan kepada pemiliknya. Dengannya dapat dibelanjakan untuk keperluan diri
sendiri dan ahli keluarga. Kekayaan dimiliki menjadi sumber kebahagiaan selagi
ia dibelanjakan ke arah kebaikan.
Firman Allah bermaksud: “Oleh itu bertakwalah
kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah (pengajaran-Nya) serta taatlah
(perintah-Nya); dan belanjakanlah harta kamu (serta berbuatlah) kebajikan untuk
diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya
daripada dipengaruhi tabiat bakhil, merekalah orang yang berjaya.” - (Surah
al-Taghabun, ayat 16)
Jelas sekali, harta yang dibelanjakan
mengikut tuntutan syariat adalah kebajikan, yakni mendatangkan pahala yang
menjadi bekalan di akhirat. Justeru, sesiapa yang mencari harta dan
membelanjakannya memperoleh kebahagian di dunia dan akhirat.
Muslim yang berbuat kebajikan dengan harta
yang dimiliki adalah antara orang yang berjaya. Mereka berjihad dengan
menggunakan harta untuk mendapat keredaan Allah SWT. Para sahabat Rasulullah SAW
sanggup membelanjakan harta yang dimiliki demi mengembangkan syiar Islam.
Sebaliknya, sesiapa mengamalkan sikap
bakhil membawa kepada kehidupan lebih keliru dan celaru kerana terlalu
sayangkan harta hingga menjadi beban kepadanya. Harta dimiliki tidak membawa
apa-apa erti kerana tidak dibelanjakan.
Harta yang berada di tangan orang bakhil
akan menjadi bahan membakar dirinya di akhirat. Disebabkan teramat sayangkan
harta sehingga tidak dikeluarkan zakat atau menghalangnya daripada melakukan
perkara wajib lain.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan
adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan
pahala yang baik (syurga), maka Kami akan menyediakan baginya (jalan) yang
susah. Dan apabila dia telah binasa, hartanya tidak akan bermunafaat baginya.”
- (Surah al-Lail, ayat 8 – 11).
Golongan kaya harus bersyukur dengan nikmat
Allah SWT kepadanya. Allah SWT akan menambah kurnia-Nya kepada hamba yang
bersyukur dan melaknati mereka yang angkuh dengan kekayaan.
Harta menjadi ujian besar kepada manusia
hingga ada yang memilih kufur disebabkan sayangkan harta. Inilah yang dilalui
oleh Qarun apabila ingkar mengeluarkan zakat, sedangkan sebelum itu dia
termasuk golongan beriman dan menjadi pengikut setia kepada Nabi Musa.
Betapa indahnya ajaran Islam dalam soal
rezeki dan harta. Mencari rezeki dikira jihad dan membelanjakannya kepada
kebaikan juga satu pahala. Maka sepatutnya setiap muslim berlumba-lumba mencari
rezeki kerana bukan saja untuk memenuhi keperluan hidup di dunia, bahkan lebih
penting lagi memberi kebaikan untuk bekalan di akhirat.
Rezeki yang diperoleh hendaklah
dibelanjakan dan sedikit disimpan untuk kegunaan masa depan. Harta juga perlu
dibelanjakan ke jalan Allah SWT, yakni hal-hal berkaitan kebajikan seperti
zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya.
Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah
menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum
kerabat (keluarga), dan melarang melakukan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar
serta kezaliman.” (Surah an-Nahl, ayat 90).
Sesiapa membelanjakan hartanya kepada
perkara kejahatan adalah seburuk-buruk perbuatan, yang mana hartanya
berkurangan, sedangkan dosanya bertambah.
Lebih buruk jika harta dibelanjakan untuk
membeli arak, dadah dan seumpamanya yang membahayakan kesihatan. Harta yang
sepatutnya mendatangan kebaikan telah bertukar membawa bala.
Jadikan amalan membelanjakan harta untuk
menolong orang lain. Sesunguhnya, Allah SWT memberikan kejayaan bagi orang yang
tolong menolong dalam perkara kebaikan dan berjihad ke jalan Allah.
Perbuatan menolong orang lain, sebenarnya
'menolong' diri sendiri. Mereka dijanjikan beroleh kebahagiaan hidup dan
semakin dimurahkan rezekinya yang tidak disangka-sangka.
Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 245
bermaksud: “Sesiapa orang yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai
pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya? Dan
(ingatlah), Allah jualah yang menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki),
dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.”
No comments:
Post a Comment