Friday, 9 May 2025

TANAH MELAYU, MALAY LAND

 
Nama "Tanah Melayu" sudah lama digunakan untuk merujuk kepada kawasan Semenanjung Malaysia. Satu nama dan sebutan yang tidak perlu dipertikaikan. 

Apabila disebut Tanah Melayu bukan bermakna hanya untuk orang Melayu sahaja tinggal. Itu hanya nama dan sejarah, dengan keistimewaan diberikan kepada orang Melayu seperti mana diperuntukakan dalam Perlembagaan.
.
Jadi, tidak perlu polemik penggunaan perkataan 'Tanah Melayu'. Itu fakta yang perlu diterima semua.
 
Tanah Melayu bukan mitos. Ia wujud. Ia dibuktikan dalam dokumen rasmi, perlembagaan, dan sejarah dunia. Sebelum Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, kita adalah Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang dinaungi Raja-Raja Melayu, berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan, dan identiti Melayu sebagai bangsa peribumi.
 
Yang datang kemudian, diserap dengan penuh hikmah sebagai warganegara. Berkongsi tempat dan segala perkara yang disebut sebagai hak warganegara. Tidak disekat atau dikurangkan sedikit pun apa yang selayaknya diterima sebagai warganegara.
 
Tapi hari ini, orang Melayu pula disuruh diam. Dilarang sebut “Tanah Melayu”. Disuruh lupakan sejarah. Dituduh rasis bila pertahan identiti.
 
Menyebut Tanah Melayu bukan untuk menafikan hak sesiapa. Tapi untuk menyedarkan semua; negara ini ada akar, ada sejarah dan ada asasnya.
.
Tanah Melayu jika diterjemahkan kepada bahasa Inggeris adalah Malay Land. Perkataan semaksud denganya banyak digunakan di seluruh dunia. Jadi, ia bukan kelakar dan janggal.
 
Finland bermaksud Tanah Orang Finn yang mana nama berasal daripada suku bangsa "Finn" (orang asli utara)
 
Poland yang bermaksud Tanah orang Polanie (orang orang dataran) merujuk kepada suku Slavic purba yang duduk di padang atau dataran.
 
Thailand bermaksud Tanah orang Thai (orang yang bebas) yang juga merujuk kepada "tanah kebebasan" atau "tanah bangsa Thai" juga sebagai identiti etnik Thai yang dominan, serta maksud kebebasan, kerana Thailand satu-satunya negara Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah kuasa Barat.
 
Scotland bermaksud Tanah orang Scotti. Dari suku bangsa Gaelik "Scotti" (yang berasal dari Ireland).
 
England merujuk kepada Tanah orang Angles iaitu suku bangsa Jermanik kuno, Orang Angles, yang berhijrah ke Britain pada abad ke-5. Dan nama England itu sendiri adalah gabungan perkataan Engla (genitif bagi "Angle") dan land (tanah), menjadikan maknanya "tanah orang Angles".
 
Jadi, perkataan Tanah Melayu bukan membawa maksud yang tidak pernah digunakan di tempat atau bangsa lain. Sebab itu, tidak perlulah menjadi polemik berterusan untuk menidakkan istilah "Tanah Melayu" kerana itulah hakikat dan kebenaran yang tidak boleh disangkal.

No comments:

Post a Comment