Monday, 28 April 2025

SMK PANGGUNG JAYA JOHAN PROGRAM TH

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya berjaya mendapat tempat pertama persembahan terbaik Program Kepimpinan Muda anjuran Lembaga Tabung Haji (TH).
 
Program peringkat pantai timur melibatkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang itu diadakan pada 24 hingga 27 April 2025, bertempat di Movenpick Sepang dan Perdana Hotel KLCC, seta Menara TH Tun Razak di Kuala Lumpur.
 
Kejayaan SMK Panggung Jaya kali ini adalah antara senarai kejayaan yang telah dicapai sekolah luar bandar yang terletak di Kampung Panggung Lalat, Kuala Betis, Gua Musang.
 
SMK Panggung Jaya adalah sekolah khas untuk pelajar Orang Asli Kelantan. Pembinaannya adalah dalam usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah penempatan pelajar Orang Asli dari kampung pedalaman. Sekolah "moden" itu setaraf dengan sekolah-sekolah yang baharu dibina di tempat-tempat lain. 
 
Sebelum ini anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman terpaksa dipecahkan kepada beberapa sekolah menengah lain iaitu SMK Tengku Indera Petra 1, SMK Tengku Indera Petra 2, SMK Seri Wangi, SMK Tengku Bendahara, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2. 
 
Pembinaan SMK Panggung Jaya adalah langkah penyelesaian kerajaan dalam memastikan anak-anak Orang Asli dapat memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran tanpa memikirkan jarak jauh dari keluarga. 
 
Kebanyakan mereka tinggal di kampung sekitar Pos Tohoi, Poa Simpor, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Brooke, Pos Hendrop, Pos Pasik, Pos Pulat, Pos Hau, Pos Blau dan Pos Kuala Betis. 
 
Biarpun baru beroperasi beberapa tahun, SMK Panggung Jaya telah mencapai banyak kejayaan. Selain berjaya mengurangkan kadar keciciran pelajar di kalangan Orang Asli, ia telah berjaya mencatat kejayaan yang cemerlang melibatkan pelajar Orang Asli di pelbagai peringkat, termasuk di peringkat kebangsaan.
 

No comments:

Post a Comment