Thursday, 17 April 2025

PERMAINAN BOLA BALING SEMAKIN POPULAR

 
Bola baling merupakan salah satu permainan padang yang terdapat di Malaysia. Permainan ini popular di kalangan pelajar sekolah. 

Ia jenis permainan secara berkumpulan melibatkan tujuh pemain pada satu pasukan, termasuk penjaga penjaga gawang. Pemainan ini dimainkan oleh lelaki dan perempuan. 

Mengikut sejarahnya, bola baling (handball berasal daripada Eropah. Bola baling boleh dimainkan sama ada di dalam atau luar dewan. Peralatan yang diperlukan dalam bola baling adalah tidak banyak. 

Peralatan yang diperlukan ialah padang atau gelanggang (tertutup atau terbuka), sebiji bola baling dan dua orang pengadil diperlukan untuk mengawal permainan.

Kemahiran asas yang terdapat dalam bola baling ialah berlari, melompat, hantaran bola, menangkap bola, mengelecek bola dengan tangan, mengadang, menjaring dan menjaga gol.
 
Setiap kemahiran asas ini mempunyai prinsip sains yang diaplikasikan ke dalamnya. Sebagai contoh, dalam kemahiran hantaran bola, prinsip sains yang diaplikasikan ialah sistem tuas di mana bola sebagai beban, lengan sebagai daya dan siku sebagai fulkrum.

Dalam kemahiran menangkap bola, prinsip sains yang diaplikasikan ialah Hukum Newton Pertama iaitu Inersia. Cara penangkapan bola mestilah betul untuk mengurangkan inersia bola bagi mengelakkan kecederaan berlaku.
 
Selain itu, prinsip sains yang diaplikasikan dalam kemahiran menjaring ialah sistem tuas dan daya. Sistem tuas diaplikasikan ketika bola dihayunkan oleh tangan manakala daya diaplikasikan ketika kaki mengikut lajak yang diperlukan untuk memberikan daya yang kuat.
 
Setiap kemahiran mempunyai prinsip sains yang diaplikasikan supaya kemahiran tersebut dapat dipertingkatkan lagi dan bagi mengelakkan kecederaan berlaku kepada pemain.
 
Tempoh perlawanan yang piawai terdiri daripada dua masa 30 minit dan lima minit rehat. Masa lebih pendek seperti 20 minit juga diamalkan.
 
Setiap pasukan dibenarkan meminta 1 minit masa rehat (team time-out) sekali bagi setiap separuh masa. Situasi yang dibolehkan untuk memberi kebenaran berhenti untuk masa rehat 1 minit :ialah semasa pasukannya mengawal bola. Pasukan yang menjaringkan lebih banyak gol dikira menang.

No comments:

Post a Comment