Friday 5 August 2022

BUAH MANGGIS DIGELAR RATU BUAH

 
Manggis atau nama saintifiknya Garcinia mangostana ialah tumbuhan malar hijau atau tidak mengalami musim luruh yang bertaburan asal di kawasan tropika. Buah manggis digelarkan ‘ratu buah’ sering digandingkan dengan buah durian yang dipanggil ‘raja buah’. Musim kedua-dua buah itu hampir serentak. Sebab itu, jika ada buah durian, maka ketika itu jugalah musim durian.

Manggis tumbuh di kawasan lembapan tinggi dengan kadar hujan 180-250 cm setahun, pokoknya boleh ditanam berhampiran sungai, kolam atau kawasan berair di mana sistem akarnya kekal lembab sepanjang tahun. Pokok manggis juga amat sensifif kepada jenis tanah dan kealkalian tanah. Pokok manggis tidak tahan kawasan tanah masin, atau tanah berpasir.

Pokok manggis boleh hidup subur sekiranya sistem pengairan dan pengaliran air adalah baik serta kandungan bahan organik dalam tanah yang seimbang dan tinggi.

Pokok manggis berdaun lebar dan kanopi berbentuk piramid atau berjubah. Saiz kanopi adalah sederhana iaitu antara 9 hingga 12 m. Batang utama lurus dan bercabang simetrikal.

Daunnya berbentuk bujur, eliptik dan disusun bertentangan.Saiz daun berukuran berubah antara15-25 sm panjang dan 7-13 sm lebar. Daunnya tebal dan keras.

Bunga berwarna hijau keputihan dan keluar satu persatu atau berpasangan selalu pada hujung cabang.

Di pangkal buah terdapat kesan 4-8 bekas kelopak stigma yang mengujud sehingga buah masak. Jumlah kelopak stigma menunjukkan jumlah bahagian buah.

Buah manggis mempunyai kulit agak keras dan tebal dengan garis pusat 4-6 cm; ia mampu meninggalkan kesan yang sukar hilang sekiranya terkena baju. Isi buahnya warna putih yang berukuran garis pusat 3-5 cm; ia mungkin berbiji atau tidak bergantung kepada saiz dan keranumannya.

Buah ini dibuka dengan mengopek secara dipegang dengan kedua-dua belah tangan, ditekan perlahan-lahan sehingga kulitnya terbelah dapat dikopek. Orang Barat yang merasai buah ini sering membandingkan buah ini dengan rasa strawberi putik bercampur rasa-rasa manis limau.

Manggis enak dimakan begitu sahaja atau boleh diproses. Selain dibuat jus minuman, kordial, jem, ia juga boleh dijadikan sebagai pencuci mulut.

Manggis perlu diedarkan ke pasaran dengan secepat mungkin memandangkan tempoh penyimpanan adalah 3-5 hari dalam keadaan biasa. Buah yang disimpan pada suhu 5ºC dan kelembapan 85% boleh tahan sehingga 4 minggu. Cara sejuk beku pada suhu -270ºC boleh lanjutkan tempoh penyimpanan sehingga 16 bulan.

No comments:

Post a Comment