Saturday, 31 May 2025

PULAU BAWEAN INDONESIA

 
Pulau Bawean terletak di Laut Jawa, Indonesia. Jaraknya dari Surabaya sekitar 140 kilometer yang mengambil masa perjalanan laut kira-kira empat jam menggunakan feri laju dari Jeti Gresik.

Pengunjung juga boleh menggunakan perkhidmatan kapal terbang melalui Lapangan Terbang Harun Thohir yang juga dikenali dengan nama Lapangan Terbang Bawean.
 
Pulau Bawean dipercayai telah dihuni sejak abad kelapan Masihi. Ia menjadi salah satu kawasan pengeluar rempah yang menarik minat Syarikat Hindia Timur milik Belanda untuk menguasai pulau ini pada tahun 1743.
 
Pulau ini ditadbir oleh dua penguasa daerah iaitu Sangkapura dan Tambak dengan jumlah penduduk sekitar 110 ribu penduduk yang manoritinya kaum Bawean, serta kaum lain seperti Jawa, Madura, Kalimantan, Sulawasi dan Sumatera.
 
Pekerjaan utama penduduk di sini ialah nelayan dan petani. Bahasa utama pertuturan adalah bahasa Bawean yang mirip bahasa Madura.
 
Kata Bawean berasal dari bahasa sanskrit (bahasa Hindu kuno) yang bermaksud "ada sinar matahari". Menurut legenda, sekitar tahun 1350 sekumpulan pelaut dari kerajaan Majapahit terperangkap dengan ombak besar di Laut Jawa dan akhirnya terdampar di Pulau Bawean pada saat matahari terbit.
 
Pada tahun 1501 agama Islam masuk ke Bawean yang dibawa oleh Sayyid Maulana Ahmad Sidik atau yang dikenal dengan nama Maulana Umar Mas'ud atau Pangeran Perigi sekaligus menjalankan tatapemerintahan di Pulau Bawean.
 
Seterusnya Pulau Bawean dipimpin oleh keturunan Umar Masud seperti Purbonegoro, Cokrokusumo dan seterusnya hingga yang terakhir Raden Ahmad Pashai.
 
Bawean sering disebut juga Pulau Puteri kerana banyak lelaki muda yang merantau ke Pulau Jawa dan daerah lain. Penduduk di Pulau Bawean juga banyak merantau ke Malaysia dan Singapura.
 
Di perantauan, mereka membentuk perkampungan dan komuniti masyarakat yang bersatu padu dan saling membantu. Di Malaysia, masyarakat Bawean dikenal dengan istilah orang Boyan.
 
Salah satu destinasi tarikan di Pulau Bawean ialah Danau Kastoba. Kawasan tenang dengan keindahan flora dan fauna.

Baca juga:


No comments:

Post a Comment