ELAK SIKAP GOPOH SERTA EKSTREM
Umat Islam perlu mengelak
daripada sikap gopoh serta ekstrem apabila berdepan provokasi musuh-musuh
Islam. Disebabkan tidak sabar menyebabkan kita tidak mampu mendepani provokasi
musuh-musuh Islam. Kita bertindak membabi buta hingga memperlihatkan sifat
tidak matang. Bibit-bibit kejayaan hancur disebabkan tidak ada kesabaran.
Rasulullah SAW sentiasa
berpesan kepada para sahabat agar bersabar dan mendidik mereka supaya memahami
fitrah perjuangan yang tidak diberikan kemenangan secara percuma dan sebelum
tiba masanya. Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan orang sabar.
Firman Allah SWT dalam
surah Al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud: "Apakah kamu mengira bahawa kamu
akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan dan ujian) sebagaimana
halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan
kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga
berkata Rasul dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan
Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."
Jika sesuatu usaha tidak
mencapai kejayaan seperti diharapkan, bukan bermakna tidak ada satu pun
kebaikan diperoleh. Sepanjang usaha itu tentunya telah berjaya mengubah dari
keadaan tidak baik kepada baik dan yang baik menjadi lebih baik.
Kita perlu bersyukur dengan
apa yang Allah SWT tetapkan kerana tentunya mempunyai hikmah tersembunyai.
Kegagalan tidak seharusnya merenjatkan usaha yang telah dilakukan selama ini.
Malah tidak patut sekali-kali kita mengorbankan prinsip perjuangan semata-mata
ingin berjaya dengan cepat.
Ingatlah, kejayaan yang
dicapai tidak memberi apa-apa makna jika kesan sebenarnya adalah keburukan.
Jangan jadi seperti kata pepatah, menang sorak kampung tergadai.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: "Dan supaya kamu jangan terlalu berdukacita terhadap apa yang
hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat
sesuatu nikmat." - (Surah al-Hadid, ayat 23)
Bersabar dan terus berusaha
adalah erti sebenar perjuangan. Allah SWT sentiasa menguji hambaNya untuk
menilai tahap keimanan dan ketakwaan. Sesuatu usaha yang tidak mencapai
kejayaan bukan bermakna ditolak pahala kebaikan. Begitu juga tidak bermakna
kejayaan itu tanda usaha itu diredai Allah SWT.
Yakinlah, sesuatu perkara
itu tidak akan disegerakan kejayaannya sebelum cukup tempoh waktu yang telah
ditentukan baginya. Apa yang perlu dilakukan ialah bersabar dan teruskan usaha.
Jangan mengambil jalan pintas yang mengundang banyak keburukan. Sikap
terburu-buru mengikut hawa nafsu membawa kepada kebinasaan.
Ingatlah firman Allah SWT
yang bermaksud: "Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti
binasalah langit dan bumi ini."- (Surah al-Mukminun, ayat 71)
No comments:
Post a Comment