Sunday, 19 November 2023

TAPAI MERUPAKAN PROBIOTIK ORANG MELAYU

 
Tapai merupakan probiotik orang Melayu. Makanan orang dahulu itu bukan sahaja sedap dan digemari, tetapi juga banyak manfaat dan khasiat. Sebab itu orang Melayu dahulu suka makan tapai kerana tahu kebaikannya.
 
Tapai yang terkenal ada dua jenis. Pertamanya tapai ubi kayu dan keduanya tapai beras pulut. Tapai terjadi apabila beras pulut atau ubi kayu diperam beberapa hari dengan dicampurkan ragi. Semasa diperam, berlaku proses penampaian yang antara lain menghasilkan bakteria baik.
 
Dalam tapai ada bakteria baik. Probiotik itulah bakteria baik yang melapisi dinding usus kita, menolong sistem penghadaman dan penyerapan nutrisi daripada makanan. Tanpa probiotik, bukan senang nak lawan jangkitan kuman jahat atau pathogenik.
 
Kanser kolon dan penyakit lain seperti radang usus (IBD), iritasi usus besar, cirit-birit, sembelit serta kembung perut boleh dielakkan dengan kebaikan probiotik tapai. Justeru, pengambilan atau makan tapai adalah satu cara untuk menjaga kesihatan sistem penghadaman.
 
Pada musim perayaan, terutama di Kelantan, tapai pulut adalah hidangan wajib. Sesiapa makan tapai dapat mengelak masalah penghadaman ketika musim perayaan akibat makan banyak.
 
Petua orang tua, kalau cuaca panas dan deman, cara hendak turunkan suhu badan ialah dengan makan tapai. Selain, itu tapai juga merupakan sumber karbohidrat untuk tenaga.

No comments:

Post a Comment