Setiap individu tidak seharusnya
mempersiakan masa yang menjadi nadi kehidupan. Masa mendatang adalah cabaran
kepada kehidupan. Kejayaan hanya dikecapi sekiranya dilakukan dengan
bersungguh dan sanggup berkorban.
Tidak ada kejayaan datang dengan
mudah. Seperti kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek dan yang
pipih tidak datang melayang.
Semua yang kita harapkan perlu diusahakan
dengan bersungguh-sungguh. Malah kita mesti sanggup berkorban jika inginkan
kejayaan yang lebih gemilang. Pengorbanan itu dalam segi masa, tenaga, kewangan
dan sebagainya.
Setiap tahun berlalu kita merasakan umur
semakin bertambah. Hakikatnya yang bertambah hanyalah kiraan bilangan tahun
telah kita hidup, sedangkan umur kita sebenarnya semakin berkurang.
Renungkan kata-kata Imam Hasan al-Bashri
tentang apa yang ‘kurang’ terhadap diri kita setiap detik masa berlalu.
Katanya: “Hai anak cucu Adam, sesungguhnya engkau adalah kumpulan daripada
hari-harimu. Maka, setiap kali hari itu berlalu, maka berlalu juga sebahagianmu.”
Dengan kata lain, kita perlu fikirkan apa
yang telah berkurangan dengan bertambahnya masa hidup yang telah ditempuh. Jika
kita lalai, maka masa itu berlalu begitu saja.
Masa tidak pernah mengingatkan kita bahawa
telah banyak masa dilepaskan pergi setiap masa. Kita tidak akan perasan masa
telah berlalu melainkan setelah sedar apa yang gagal dilakukan pada masa lalu
yang memberi kesan rugi kepada kita.
No comments:
Post a Comment