Sesiapa ingin menyebut keaiban orang
lain agar, elok terlebih dahulu menyebut atau mengira-mengira keaiban yang ada
pada diri sendiri. Perbuatan mengumpat akan mendedahkan diri pelakunya pula
diumpat oleh orang lain. Ini lumrah alam kerana manusia tidak sunyi daripada
kelemahan dan kekurangan. Orang lain akan mencari kelemahan dirinya untuk dijadikan
bahan umpatan.
Seorang Islam yang beriman tidak
akan berusaha atau sengaja mencari kelemahan saudara muslim yang lain. Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian
orang Islam daripada (bahaya ancaman) lidah dan tangannya.” (Hadis riwayat
Bukhari)
Usaha dan niat menjauhkan sikap
mengumpat perlu ditanam dalam diri. Kesedaran itu diharapkan akan dapat
menghalang perbuatan mengumpat berlaku dengan sewenang-wenang atau dianggap
satu kebanggaan melakukannya.
Satu kategori mengumpat yang banyak
tidak disedari ialah berkaitan bahan lawak. Perbuatan dan perkataan bergurau
yang menggunakan perkataan atau perbuatan yang melambangkan keburukan seseorang
juga dikira mengumpat.
Rasulullah SAW pernah menegur Aisyah
kerana berkata, ‘alangkah pendeknya perempuan itu’ kepada seorang perempuan tua
yang datang berjumpa dengan baginda. Kata-kata sedemikian turut dianggap
mengumpat kerana menyebut satu kelemahan sifat orang lain dengan
memperkecil-kecilnya.
Masyarakat kita sering menggunakan
lambang fizikal seseorang sebagai panggilan untuk melawak seperti gelaran
botak, buncit dan hitam. Ada juga menyebut perkataan itu dengan tujuan
panggilan ‘mesra’.
Memang kita boleh memanggil
seseorang dengan gelaran itu jika orang itu bersetuju atau tidak marah. Tetapi
fikirkan, elokkah kita memanggil seseorang dengan gelaran melambangkan
kekurangannya, walaupun dia tidak marah akan panggilan itu.
Cuba andaikan kita dipanggil dengan
gelaran itu. Tentulah kita tidak suka dipanggil begitu. Kenapa mesti berlawak
dengan menyebabkan orang lain menanggung malu. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi
pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada hari kiamat." (Hadis riwayat
Muslim).
Perbuatan mengumpat memang sukar untuk
dihindarkan sepenuhnya. Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila bercakap. Sebenarnya,
banyak orang tidak sedar perbuatannya dikira mengumpat apabila terlepas cakap
atau terlalu ghairah untuk memperkatakan sesuatu mengenai orang lain. Malah ada
mengatakan apa yang diceritakan bukan hendak mengumpat, sedangkan itu
sebenarnya mengumpat.
Disebabkan mengumpat sudah terlalu
biasa dilakukan, maka tidak dirasakan lagi dirasakan sebagai satu perbuatan
dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan secara mendalam. Jangan pandang mudah
perkara ini. Berusahalah mengelak dosa mengumpat seperti mana kita mengelak
daripada melakukan dosa-dosa besar lain.
Mengumpat boleh diumpamakan seperti penyakit
dan setiap penyakit ada ubatnya. Ubat bagi mengumpat ialah zikir. Perbanyakan
zikir dapat menghindarkan diri daripada perbuatan mengumpat. Ini kerana hati
yang bersih akan terhindar melakukan perkara buruk.
Perbuatan mengumpat dan mencari
kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang
sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan
keburukan pada dirinya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah
kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya,
sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip
keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, miskipun dia berada di dalam rumahnya
sendiri.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Maksud hadis itu dengan jelas
membuktikan orang mengumpat dikategorikan sebagai belum beriman dengan hatinya,
biarpun lidahnya mengaku sudah beriman. Orang yang benar-benar beriman akan
menjauhkan perbuatan mengumpat.
Orang melakukan mengumpat akan
mendapat kerugian amat besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka akan
dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Pahala yang dikumpulkan
sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mana mudahnya api memakan kayu
kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering.” (Hadis
riwayat Ibnu Majah dan Abu Daud)
Tentulah tiada siapa yang mahu
muflis di akhirat nanti. Kebaikan yang dilakukan di dunia diharapkan dapat
menjadi bekalan di akhirat. Malang sekali akibat perbuatan mengumpat, amalan
kebajikan itu menjadi rosak kerana pahalanya diserahkan kepada orang yag
diumpat.
Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksdud:
"Sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya melibatkan maruah
(penghormatan) atau sebagainya, maka lebih baik dia memohon kemaafan kepada
orang itu sebelum tiba hari di mana dinar dan dirham tidak lagi diperlukan.
Jika dia mempunyai apa-apa kebaikan, perkara itu akan ditarik daripadanya
sebagai balasan ke atas kejahatan yang dibuat. Jika dia tidak ada sebarang
amalan kebaikan, maka kejahatan orang yang diumpat itu akan diletakkan
kepadanya" (Hadis
Riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment