Perbuatan troll atau hasut maya semakin
menjadi perhatian sehingga dianggap budaya baharu media sosial apabila warganet
menggunakannya untuk menyatakan perasaan dan emosi yang mengheret masyarakat ke
medan perbalahan.
Gejala itu dilihat lebih menimbulkan banyak
keburukan dan kemudaratan kerana dibimbangi mewujudkan persengketaan, sekali
gus menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.
Islam menegah dan melarang sesuatu
perbuatan yang boleh membawa kepada kemudaratan kepada umat. Budaya hasut maya tidak
sesuai dalam masyarakat kita yang terkenal dengan ketinggian budaya timur yang
penuh dengan kesantunan, apatah lagi Islam melarang kita melakukan perbuatan
negatif.
Sekiranya ia bersifat keterlaluan seperti
menyindir dalam bentuk serangan peribadi dan membuka aib seseorang tentu
hukumnya haram. Islam menegah kita daripada membuka aib kerana ia bersifat
peribadi.
Mendedahkan aib individu boleh dianggap
sebagai tidak bermaruah malah boleh mencetuskan pertelingkahan antara individu
dan masyarakat.
Memang dalam sebahagian situasi tertentu,
aib boleh didedah atau diberitahu tetapi ia membabitkan soal akhlak dan
perbuatan sebagai peringatan serta teladan kepada yang lain. Ia juga boleh
didedahkan di mahkamah demi mencari kebenaran. Namun, sekiranya dengan niat
menjatuhkan dan memalukan seseorang, ia perlu dijauhi.
Budaya hasut maya di media sosial boleh
disifatkan seperti perbuatan baling batu sorok tangan yang tindakan itu
dianggap tidak bertanggungjawab. Banyak yang menggunakan akaun palsu di media sosial
semata-mata untuk melakukan hasut maya. Mereka tidak berani untuk menggunakan
identiti diri sebenar.
Apabila ia disebarkan di media sosial dan
terus tersimpan di internet, pihak yang terbabit akan menanggung dosa
berterusan selama mana tersimpan dan terus tersebar. Dan jika telah dipadamkan,
perbuatan dosa itu berkekalan selagi ia tidak dimaafkan oleh orang yang
diaibkan itu, lebih-lebih lagi ia bersifat fitnah.
Kita tidak sewajarnya berlagak alim dan
suci semata-mata untuk menjatuhkan maruah orang lain. Mengapa perlu kita
melakukan sesuatu yang ditegah agama hanya disebabkan berlainan pendapat atau parti
politik.
Sikap berlagak alim dan suci adalah sifat
syaitan yang berasa dirinya lebih baik. Sedangkan apa yang diketahuinya hanya sedikit
dan masih terdedah dengan pelbagai kelemahan.
Rasulullah SAW telah bersabda: “Barang
siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata
baik atau diam.” (Hadis riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment