Manusia memerlukan pasangan lelaki dan
perempuan dalam melayari kehidupan yang saling memenuhi keperluan sama ada
zahir mahupun batin. Hubungan seks adalah satu keperluan untuk memenuhi
tuntutan naluri dan melahirkan zuriat.
Persetubuhan antara seorang lelaki dan
perempuan menjadi halal melalui pernikahan yang sah. Nikah yang sah menjadi syarat
untuk mengadakan persetubuhan. Islam menghalalkan dengan nikah dan mengharamkan
bagi mereka yang tidak bernikah.
Melalui perkahwinan tertunai segala keinginan seorang lelaki dan keinginan seorang wanita. Fitrah semula jadi manusia telah dilengkapkan dengan keinginan ini.
Dalam hal ini, Islam memberi ruang untuk seseorang itu menikmati keinginan nafsunya dengan izin syarak. Namun sebagai hamba yang diciptakan untuk mematuhi perintah Allah maka cara dan etika dalam mengadakan hubungan suami isteri perlu dijaga.
Ini kerana jimak juga dikira sebagai ibadat. Dalam surah al-Baqarah, ayat 223, Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman."
Dalam ayat ini Allah SWT menggambarkan sebagai ladang atau kebun itu dengan tatacara yang beradab, walaupun ayat ini menyatakan datanglah kepada isteri-isteri kamu mengikut kamu sukai.
Mengikut al-Raghib al-Asfahani, makna "kebun" itu adalah tempat kamu menanam benih zuriat kamu.
Al-Jauhariy menegaskan bahawa “kebun" dalam ayat ini adalah satu perumpamaan” manakala Ibn Abbas berpendapat: “siramlah tanaman kamu di mana ia boleh tumbuh”.
Allah SWT memberikan kebebasan bagi suami isteri untuk menikmati jimak sesuai dengan kaedah dan cara yang dianggap sesuai menurut syarak. Maksudnya memenuhi kepuasan nafsu dengan tidak melampaui nilai dan adab.
Namun begitu, Islam juga menggariskan batas-batas jimak tersebut, seperti dilarang menjimak isteri ketika haid atau nifas, dilarang menjimak dubur isteri dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment