Wednesday, 11 March 2026

PENGGUNAAN DINAR EMAS

 
Logam emas menjadi simbol kepada kekuasaan, kemewahan dan kecantikan. Bersandarkan kepada faktor itu, emas amat berharga di dunia, mempunyai nilai paling kukuh meskipun berdepan dengan apa juga situasi termasuk krisis ekonomi.

Sejarah menunjukkan emas diguna pakai sebagai alat pertukaran dalam perdagangan dahulu. Emas digunakan kerajaan Rom Byzantine secara meluas sejak sebelum kedatangan Islam.

Pada zaman awal kedatangan Islam, syiling daripada kerajaan Rom dan Parsi digunakan secara meluas orang Islam. Emas dan perak dijadikan sebagai ukuran kepada unit timbangan kepada harga dan upah.

Hanya bertahun selepas kewafatan Rasulullah, orang Islam tidak lagi menggunakan syiling Rom dan Parsi apabila pada 77 Hijrah (696 Masihi) ketika zaman pemerintahan Khalifah Abul Walid Abd al-Malik ibn Marwan, emas pertama ditempa.

Gambaran manusia dan binatang yang ada pada syiling Rom dan Parsi digantikan dengan perkataan la ilaha ill' Allah. Syiling emas ini digunakan secara meluas di jajahan Islam sehingga keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Pada masa ini perantara kepada perdagangan berubah daripada emas kepada wang kertas. Terpisahnya emas daripada sistem kewangan dunia bermula dengan berakhirnya sistem Bretton Woods. Runtuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah menandakan tamatnya era perdagangan dan sistem kewangan Islam yang adil dan jujur.

Lompang kewangan ditinggalkan itu sedikit demi sedikit mula diisi oleh sistem ekonomi kapitalis yang kejam dan zalim dengan riba dijadikan senjata untuk meruntuhkan struktur kewangan sedunia yang dibangunkan sekian lama.

Uniknya, emas tidak dimiliki oleh mana-mana negara, pertubuhan, parti politik, mahupun individu. Ia diterima dan diiktiraf di kalangan semua negara, agama dan bangsa sebagai sesuatu yang bernilai dan berharga.

Sifat emas itu sendiri yang sukar ditemui dan dihasilkan menjadikan ia amat sesuai dijadikan sandaran nilai bagi sesuatu. Justeru, ia sukar itu untuk dimanipulasi atau untuk tujuan spekulasi.

Ketika ini banyak kedengaran suara supaya diwujudkan kembali sistem kewangan berasaskan emas. Suara penentangan juga didengari daripada komuniti Islam sehinggakan Dr Umar Ibrahim Vadillo menfatwakan haram menggunakan wang kertas.

Walaupun tidak semua bersetuju dengan fatwa itu, ia tidak menafikan wang kertas ada masalah dari segi praktikal dan aplikasi, lebih-lebih lagi perkara yang sudah nyata haram iaitu riba, adalah pemangkin kepada sistem kewangan berasaskan wang kertas.

No comments:

Post a Comment