Dalam
sistem pemerintahan negara kita, sesuatu keputusan melakukan tindakan penting,
terutama yang memberi kesan besar kepada keselamatan dan ekonomi negara, tidak
hanya dibuat oleh Perdana Menteri tetapi keputusan dibuat oleh Jemaah Menteri.
Ini bermakna keputusan adalah dibuat secara kolektif atau bersama dengan keputusan majoriti.
Namun, dalam kes tertentu, biarpun dianggap keputusan Jemaah Menteri, terdapat individu yang menjadi dominen dalam mempengaruhi ketetapan yang dianggap sebagai keputusan mesyuarat, sedangkan ia sebenarnya hanya menjadi agenda individu atau kumpulan tertentu.
Ia menjadi lebih ketara apabila kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri begitu rapuh. Dalam keadaan sekarang, Muhyiddin bukan saja berdepan tekanan dari luar kabinet, bahkan dalam kalangan menteri sendiri.
Pemerhati politik melihat kedudukan dan peranan Muhyiddin kini tidak ubah sebagai boneka atau patung wayang kulit yang dimainkan oleh beberapa menteri lain yang berlagak lebih berkuasa dan keras kepala serta berlagak pandai.
Muhyiddin dalam keadaan lemah seakan-akan dicucuk hidung untuk menerima apa sahaja cadangan daripada beberapa menteri yang berjuang untuk kepentingan kelangsungan politik masing-masing.
Umpama seperti api dalam sekam dan guntung dalam lipatan, dan lebih parah lagi menjadi musuh dalam selimut, beberapa menteri kini lihat seperti Raja Mendeliar dan Si Kitol yang menjahanamkan Kesultanan Melayu Melaka.
Jika menteri yang berwatak Raja Mendeliar dan Si Kitol ini terus berkuasa di dalam kabinet, yang rosak dan tersungkur bukan Muhyiddin sahaja, bahkan seluruh kabinet yang tentunya memberi kesan kepada negara yang sedang berdepan serangan hebat Covid-19.
Jelmaan Raja Mendeliar dan Si Kitol tidak peduli titah Raja. Mereka terus melakukan tindakan dan strategi demi untuk kekal di kedudukan sekarang serta berhasrat dan bercita-cita untuk menjadi bendahara (perdana menteri).
Biarpun cadangan mereka agar Perdana Menteri menyembah maklum kepda Yang Dipertuan Agong untuk diadakan ‘darurat’ telah ditolak, mereka tidak berdiam diri.
Keputusan Agong tidak ampun pekenan cadangan dipersembahkan Muhyiddin itu memberi implikasi politik yang besar kepada kedudukan Perdana Menteri sehingga ada yang mencadangkan agar meletakkan jawatan.
Takut Muhyiddin benar-benar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, maka kedua-dua menteri yang layak digelar pengacau dan pengkhianat ini bersungguh-sungguh memujuk agar Muhyiddin melapaskan jawatan yang baharu disandang 8 bulan itu.
Kedua-dua mereka ini amat takut jika individu lain menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang pasti kedua-dua mereka tidak akan lagi kekal sebagai menteri kabinet dan mungkin juga mendedahkan mereka kepada beberapa tindakan lain.
Muhyiddin yang selama ini bergantung kepada sokongan Raja Mendeliar dan Si Kitol akan terus menjadi boneka dan patung wayang kulit yang pergerakan dan suara dikawal sepenuhnya oleh pihah lain.
No comments:
Post a Comment