Persepsi negatif
masyarakat terhadap dosa penzina agaknya melampau sampai ke tahap tiada ampun
lagi. Jika setakat mencela perbuatan terkutuk itu tidaklah berat ditanggung
penzina yang mahu bertaubat. Tetapi jika sampai tidak menaruh belas kasihan
bahkan dipulaukan dan dikeji, itu bukan tuntutan agama.
Malang sungguh, saat terlanjur mereka diberhentikan daripada
pengajian, dipulau keluarga, tiada yang sudi menasihati dan membimbing, jalan
taubat ditutup rapat oleh masyarakat sekeliling. Jika kita tidak mengubah
persepsi terhadap wanita-wanita malang ini selamanya gejala buang bayi akan
berleluasa.
Apabila berlaku fenomena
membuang bayi, kita sepakat mengutuk sekeras-kerasnya kejahatan ini tanpa
menilai mengapa ia berlaku. Adakah disebabkan budaya masyarakat yang jauh
menyeleweng daripada agama, jika benar mengapa ramai orang Islam yang terbabit?
Mungkin orang kafir
lebih bijak menghapuskan benih perzinaan itu dengan melakukan pengguguran,
tetapi persoalannya adalah sikap membunuh darah daging yang sempurna bentuk
jasad dan sifatnya itu lebih kejam daripada pengguguran pada awal kandungan.
Kita tidak mempersoalkan
tindakan mana lebih kejam kerana memang kedua-duanya adalah dosa besar dalam
Islam. Tetapi umat Islam perlu memiliki sifat kemanusiaan dan jangan menghukum
teruk wanita yang berzina supaya mereka tidak takut dan kembali melakukan dosa
besar dengan membuang bayi.
Bayi tidak berdosa itu
terbunuh mungkin disebabkan proses kelahiran yang disembunyikan akibat perasaan
takut dan malu, bukan kerana sengaja mahu dibunuh. Bagaimana jika ia bukan
hasil perzinaan, kerana jenayah rogol misalnya atau 'haruan makan anak'.
Disebabkan masyarakat
tiada belas kasihan dan keluarga berantakan, maka wanita yang terbabit berusaha
menutupi dosa dengan melahirkan sendiri anak tak berdosa itu. Mustahil mereka
mahu membunuh bayi selepas kelahiran. Kalau berniat membunuh, mereka akan
melakukannya pada awal kandungan lagi.
Mungkin sesetengahnya
tidak sempat menggugurkan kandungan dan terpaksa menunggu saat kelahiran,
tetapi pada masa menunggu itu mengapa keluarga dan masyarakat tidak mahu
memaafkan sehingga wanita ini putus asa dan akhirnya membunuh bayinya.
Keluarga dan masyarakat
berperanan besar dalam menyelesaikan fenomena ini. Orang Islam yang taat jangan
sesekali memandang serong wanita yang sudah bertaubat.
Mereka yang terlanjur
dan mahu bertaubat sepatutnya dibimbing, dikasihani dan ditunjukkan jalan
keluar. Jika kita bersikap keras, membenci dan terus memusuhi mereka tanpa
memberi peluang, fenomena sebegini akan berlarutan.
Kita dituntut untuk
terpanggil dan sensitif dengan gejala tidak sihat di sekeliling rumah, tempat
kerja, lingkungan di seluruh negeri kita. Jika ada anak saudara yang
terlanjur, mampukah kita memberi kemaafan dan menanggung sama aib itu, atau
kita menutupinya kerana takut dicemuh masyarakat kemudian tidak peduli dengan perbuatannya
bahkan melarang anak perempuan kita bergaul rapat dengannya?
Bukankah lebih baik mengajar anak-anak kita menolong, menasihat
dan mencari jalan keluar supaya taubatnya benar-benar nasuha? Malangnya, cerita
keji itu tetap dikenang selamanya dan dijadikan cacian dalam keluarga sendiri
padahal wanita itu sudah bertaubat.
Rasulullah SAW melayan dengan baik wanita yang berzina dan telah
bertaubat. Mengikut satu riwayat, ada seorang wanita datang kepada Rasulullah
sedang dirinya hamil kerana berzina. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah aku
telah melakukan kesalahan yang menyebabkan aku terkena hudud, maka
laksanakanlah hudud itu kepadaku.
Kemudian Rasulullah SAW memanggil wali perempuan ini dan bersabda:
“Berbuat baiklah kepadanya apabila sudah melahirkan bawalah dia kepadaku."
(Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah SAW tidak sesekali mengeji wanita yang ingin bertaubat
ini, tidak mencari dan mengheret lelaki yang melakukannya dan tidak menjatuhkan
hudud ke atasnya saat itu juga. Bahkan Rasulullah SAW berpesan kepada ayahnya
atau bapa saudaranya atau saudara lelakinya supaya menjaga wanita ini
baik-baik.
Betapa lembutnya akhlak Nabi SAW, sedangkan ramai anak-anak
perempuan di sekelilingnya terlanjur tak dapat menahan marah ke atas mereka.
Sehingga menyebabkan wanita itu tetap dalam kejahatannya bahkan bertambah jahat
lagi dengan membuang bayi mereka.
Kemudian selepas wanita itu melahirkan dan cukup tempoh penyusuan
bayinya, sesudah dia meninggal dalam hudud, baginda mensolatkannya.
Melihatkan kepada tindakan Rasulullah SAW itu, maka Umar bertanya:
“Wahai Rasulullah mengapa engkau mensolatkan wanita ini padahal dia berzina.” Lalu
Rasulullah SAW bersabda: “Wanita ini benar-benar bertaubat seandainya taubat
itu dibahagi kepada 70 orang Madinah nescaya masih cukup. Pernahkah kamu
mendapatkan orang yang lebih utama daripada seorang yang menyerahkan diri
sepenuhnya kepada Allah".
Apa yang dilakukan Rasulullah SAW itu mengingatkan mengenai
kedudukan taubat lebih tinggi lagi daripada segala kejahatan yang pernah
dilakukan manusia.
Perbuatan zina diharamkan kerana ia
perbuatan keji melanggar ketetapan agama. Besar dosa mereka melakukan zina dan
membawa lebih banyak keburukan lain.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah
suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." (Surah al-Israk, ayat
32).
Sesungguh perbuatan membunuh amat
ditegah dalam Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu
membunuh orang yang diharamkan oleh Allah (membunuhnya) kecuali dengan jalan
yang sah." (Surah al-Israk, ayat 33).
Islam menyediakan langkah pencegahan
untuk mengelak berlaku perbuatan zina. Lelaki dan perempuan tanpa ikatan
perkahwinan tidak dibenarkan berada berdua-dua di tempat terlindung.
Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: "Jangan sekali seorang
lelaki bersama-sama dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana yang
ketiganya adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya." (Hadis riwayat
Ahmad).
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai
pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka
kahwinlah, kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga
kehormatan. Dan barangsiapa belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana
puasa itu mengurangi nafsu syahwat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Sesungguhnya setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah atau
bersih daripada sebarang dosa yang dilakukan oleh ibu bapanya. Biarpun
dilahirkan sebagai anak zina, anak itu masih berpeluang hidup sebagai insan
mulia jika dididik dengan baik.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak dilahirkan
dalam keadaan fitrah (suci). Ibu bapalah
yang mencorakkan sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau
Majusi." (Hadis riwayat Bukhri dan
Muslim).
Oleh
itu, hal-hal yang berkaitan akidah dan keimanan mesti dijadikan teras dalam
usaha membina satu sistem hidup yang terbaik di dunia ini. Ini sesuai dengan
Islam sebagai cara hidup yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada manusia melalui
Nabi Muhammad SAW.
Setiap
perkara yang disuruh pastinya mendatangkan kebaikan, sedangkan amalan yang
dilarang jika diteruskan juga akan menyebabkan berlaku keburukan yang bukan
saja kesannya dirasai di dunia ini, bahkan lebih-lebih lagi di akhirat
nanti.
Sesiapa yang mematuhi peraturan
agama pasti hidupnya bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat. Manakala mereka
yang ingkar perintah Allah SWT akan
melalui kehidupan yang gelap di dunia dan bakal menanggung azab di akhirat.
No comments:
Post a Comment