Monday, 19 February 2024

PERKHIDMATAN KERETA API ELEKTRIK (ETS) KTMB

 
Perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) merupakan perkhidmatan tren antara bandar di antara Padang Besar, Butterworth, Kuala Lumpur dan Gemas yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 12 Ogos 2010 dengan sektor pengenalan Ipoh hingga Seremban.
 
Pengenalan sektor ditambah secara berperingkat-peringkat, termasuklah penggunaan jenis tren dan nama-nama yang digunakan untuk membezakan jenis perkhidmatan yang disediakan.
 
Perkhidmatan ETS KTMB sebenarnya bergantung kepada ketersediaan landasan yang ada sambungan elektrik.
 
Terdapat 36 stesen yang berkhidmat sepanjang laluan ini iaitu dua di Perlis, empat di Kedah, empat di Pulau Pinang, 13 di Perak, lima di Selangor, empat di Kuala Lumpur, dua di Melaka dan dua di Negeri Sembilan.
.
Kelajuan operasi maksimum armada ETS adalah 140 km/jam, walaupun tren ETS direka untuk mencapai kelajuan 160 km/jam. 

Setiap tren boleh mengangkut maksimum 350 orang penumpang, dan terdiri daripada enam gerabak yang mencapai jumlah panjang 138 meter dan berat 231.8 ton. Setiap gerabak 22.95 meter panjang, 2.75 metwr lebar dan 4 meter tinggi.
 
Setiap hari, lebih 10,900 penumpang direkodkan menggunakan perkhidmatan ETS KTMB. Antara perjalanan yang paling popular di kalangan pengguna adalah perkhidmatan dari KL Sentral ke Ipoh.
 
Dengan kelajuan 140 kilometer perjam, ETS mampu memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh kepada lebih kurang dua jam sahaja.

Kekerapan perjalanan, keadaan di dalam tren yang selesa, kelajuan dan perjalanan yang selamat serta tepat menjadi antara daya penarik orang ramai menggunakan perkhidmatan ETS KTMB.

No comments:

Post a Comment