Salah satu ciri akhlak Islam ialah menutup
aib seorang. Ketika seseorang muslim melihat yang lain memerlukan ainnya ditutup
ia pun menutup. Ketika ia memerlukan pertolongan ia pun menolongnya.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Barangsiapa
meringankan beban seorang muslim di dunia maka Allah akan meringankan bebannya
pada hari kiamat dan barang siapa yang menutup aib seorang muslim maka Allah
akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba
selama hamba itu menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)
Maka, jangan mengungkit kisah hitam saudara
kita yang lampau. Boleh jadi dia telah bertaubat dan taubatnya itu diterima
Allah.
Membuka dosa yang telah ditutup oleh Allah
adalah pelanggaran terhadap Allah. Takutilah balasan buruk daripada-Nya.
Kata al Imam Hasan al Basri: "Barang
siapa yang menuduh saudaranya dengan suatu dosa yang telah diterima taubatnya
oleh Allah, dia tidak akan mati sehinggalah dia sendiri akan ditimpa dosa
seumpama itu." - Kitab Adab Hasan al Basri
Keuntungan daripada menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah di akhirat nanti
akan menutup aibnya serta memberi pahala yang banyak. Pada hari akhirat iaitu
hari yang semua rahsia akan terbongkar dan perkara apa pun tidak boleh
disembunyikan.
Tetapi perlindungan Allah SWT akan sentiasa
bersama-sama dengan orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang mahu melindungi
hamba-hamba Allah di dunia. Tidak mendedahkan rahsia mereka dan tidak membuka
keaiban mereka.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidaklah
seorang hamba menutup aib hamba yang lain di dunia kecuali pada hari kiamat
akan menutup aibnya.” (Hadis riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment