Peperangan bukan terhad melibatkan
senjata dan kekuatan fizikal tentera semata-mata. Malah, peperangan turut
melibatkan kekuatan mengendalikan propaganda atau dikenali gerak sarag dan perang
saraf.
Keberkesanan perang saraf dilihat
sebagai tenaga dalaman yang diakui lebih kuat dan kebal untuk menghadapi
peperangan sebenar secara fizikal.
Perang saraf termasuk dalam taktik
perperangan. Kebijaksaan menyusun taktik peperangan adalah elemen utama
menyumbang kejayaan kepada pasukan tentera.
Banyak kejayaan kejayaan tentera
Islam dalam peperangan hasil penelitian Rasulullah mengendalikan perang saraf. Rasulullah
pernah memimpin sebanyak 28 peperangan dalam tempoh selama 10 tahun memerintah
di Madinah.
Baginda mampu menaikkan semangat
tentera Islam melalui ucapan dan perbuatan yang memberi keyakinan dan kekuatan
untuk menghadapi tentangan tentera musuh yang diketahui lebih ramai,
berpengalaman, mempunyai kelengkapan lebih baik dan terlatih.
Dalam membina kekuatan tentera
Islam, Rasulullah amat menekankan kepada pembinaan jati diri. Sesungguhnya
kekuatan sebenar angkatan tentera bergantung kepada kekuatan rohani, semangat
wira, semangat berpasukan dan disiplin ketenteraan. Moral tentera Islam dalam
setiap peperangan amat tinggi.
Rasulullah mengadakan strategi
perang saraf untuk membina keyakinan diri di pihak tentera Islam. Jaminan
balasan syahid yang mendapat balasan terbaik di sisi Allah menjadi pendorong
kepada membina kekuatan tentera Islam.
Selain itu, Rasulullah sentiasa
memberi gambaran kelemahan tentera musuh sebagai menaikkan keyakinan tentera
Islam.
Perang saraf kini banyak dilakukan
dalam perang moden. Ia banyak dilakukan melalui penguasaan media cetak dan
elektronik. Berita-berita mengenai kemampuan diri sendiri ditonjolkan bagi
mendatangkan rasa takut dan melemahkan psikologi pihak musuh. Sokongan moral
daripada rakyat sendiri dan masyarakat antarabangsa diraih melalui perang
saraf.
Termasuk dalam perang saraf ialah
menyebarkan kelemahan dan kekalahan yang dialami pihak musuh. Berita itu perlu
menjadi topik utama. Malah, banyak berita tidak tepat disebarkan sebagai satu
elemen perang saraf. Pengaruh editor, pemberita dan koluminis amat diperlukan
untuk menjayakan perang saraf.
Justeru, perang media tidak kurang
hebatnya ketika perang fizikal sedang berlangsung. Setiap maklumat berbentuk
perang saraf daripada pihak musuh dipintas kembali dan dikemukakan pula
maklumat yang juga berbentuk perang saraf.
Perang saraf bukan sahaja digunakan
semasa peperangan bersenjata, bahkan dalam pertandingan pelbagai situasi dan
peringkat. Penyebaran propaganda dan khabar-habar angin disebar untuk
meningkatkan imej diri atau kumpulan sendiri dan pada masa yang sama melemahkan
pihak lain.
Sekarang ini masyarakat Islam di
seluruh dunia diserang dengan berita berbentuk propaganda bagi memberi tekanan
sehingga melumpuhkan kekuasaan dan ekonomi umat Islam. Imej umat Islam tercemar
teruk apabila seluruh masyarakat Barat menunding jari mengaitkan segala
keganasan dengan Islam.
Ketika berdepan dengan ancaman
imperial media Barat, umat Islam perlu membina rangkaian maklumat yang lebih
adil, telus dan tepat. Kita memerlukan lebih banyak wartawan, editor dan
kolumnis yang memahami inspirasi dan keperluan masyarakat Islam.
Rangkaian media elektronik dan media
cetak dikuasai oleh orang Islam perlu ditambah. Ia diharapkan dapat mengimbangi
kekuatan perang saraf yang diwujudkan oleh media Barat.
Maklumat dan laporan yang disediakan
oleh media Barat lebih bersifat perang saraf bagi memberi tekanan kepada umat
Islam. Mana-mana negara dan pemimpin yang tidak tunduk kepada acuan Barat akan
berdepan dengan serangan perang saraf melalui media.
Perang saraf terhadap kekuatan umat
Islam yang dicipta oleh Barat perlu diatasi dengan bijaksana, yakin, bersatu
padu dan mengurangkan pengatungan kepada pihak lain. Tindakan secara ekstrem
akan dijadikan elemen oleh Barat untuk lebih menekan kedudukan umat Islam.
Orang Islam perlu mempunyai
pandangan positif terhadap orang Islam lain. Ia bagi memperkukuhkan tali
persaudaraan dan mengelak salah sangka. Media Barat sentiasa menyebarkan
keburukan orang Islam sebagai cara melaga-lagakan sesama Islam.
Usaha memerangi perang saraf juga
merupakan jihad yang wajib terhadap setiap Muslim. Jihad memerangi perang saraf samalah seperti
persiapan menghadapi peperangan fizikal. Segala kekuatan dan kemampuan perlu
digabungkan untuk mencapai kejayaan dan matlamatnya.
Firman Allah dalam surah al-Anfal
ayat 60 bermaksud: “Dan bersiap sedialah untuk menentang mereka (musuh Islam)
dengan segala jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan
berkuda yang lengkap, yang mana (dengan persediaan itu) dapat menggerunkan
musuh Allah dan musuh kamu.”
No comments:
Post a Comment