
Apabila gagal cegah keburukan. Jika tanggungjawab amar maruf dan nahy mungkar tidak dilaksanakan, masyarakat dilanda pelbagai budaya dan akhlak yang negatif. Kalaupun ada suruhan kepada kebaikan dan larangan dari kejahatan hanya bersifat terpilih bukan menyeluruh. Pada masa sama keburukan masih dibenar dan digalakkan.
Hal ini boleh kita lihat
saban hari di media-media kita. Sebabnya, sehinggakan media kerajaan, soal
komersial dan keuntungan kadang-kala lebih dititik beratkan dibandingkan soal
pembangunan insan. Tajuk-tajuk forum agama juga banyak yang bersifat komersial.
Maka sebab itu, walaupun
ceramah dan forum perdana banyak, masyarakat kita tetap dihujani ujian
kerosakan dan kemungkaran kerana ramai yang hanya berani menyuruh kepada
kebaikan tetapi tidak berani melarang kemungkaran.
Banyak perkara negatif
telah menjalar ke dalam berbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat kita.
Daripada isu akidah seperti menghina Islam sehingga kepada gejala sosial yang
melampaui batas. Orang ramai tidak lagi peka apabila melihat sesuatu yang
ternyata amat mungkar berlaku di hadapan matanya sedangkan mereka mampu
mengubahnya.
Akhirnya, masyarakat
hidup tanpa mempedulikan arahan Allah. Kemungkaran yang pada mulanya merupakan
penyakit kelompok, akhirnya menjelma menjadi barah yang mengancam masyarakat
keseluruhannya. Akhirnya, keselamatan, keadilan, minda, bahkan identiti umat
Islam itu sendiri terancam.
Ancaman-ancaman ini pada
mulanya kelihatan kecil dan kita tidak begitu mempedulikannya. Tetapi akhirnya ia
menjadi api yang menyala dan sukar untuk dipadamkan lagi.
Firman Allah: "Dan
jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa
orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu
secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya" -
(Surah al-Anfal, ayat 25).
Maka sesiapa yang
melihat mungkar tetapi dia tidak mencegahnya sedangkan dia mampu, maka dia
sebenarnya berdosa. Ramai kita yang tidak perasaan bahawa dia berdosa kerana
membiarkan kemungkaran yang dia sebenarnya amat mampu mencegahnya.
No comments:
Post a Comment