Nasib
malang umat Islam di seluruh dunia semakin meruncing. Penguasaan dan cengkaman Barat negara-negara
Islam semakin kuat.
Sekiranya
umat Islam tidak bangkit meningkatkan keupayaan diri, Barat bukan saja berjaya
menjajah pemikiran, budaya dan gaya hidup, tetapi merebak kepada penjajahan
fizikal. Umat Islam terus menjadi mangsa kepada kelemahan diri sendiri.
Justeru,
umat Islam memerlukan strategi dan perancangan serba lengkap untuk menghadapi
cabaran golbal dan kompleks. Seluruh
umat Islam mesti berusaha untuk berada pada kedudukan lebih kuat bagi
menghalang sebarang bentuk penindasan dan manipulasi persekitaran.
Tanpa
kuasa dan kekayaan, umat Islam terus dipandang rendah dan menjadi mangsa kepada
dasar yang sengaja dicipta bagi melemahkan Islam.
Hakikatnya,
umat Islam bukannya ‘the poor man of the world’ seperti yang dilabelkan oleh
orientalis Barat. Barat mengcap penganut Islam sebagai anti pembangunan,
berfikiran kolot, mengamalkan faham ekstrem dan berpuak-puak.
Kepincangan
hidup penganut Islam sekarang adalah berpunca keengganan mematuhi hukum
agama. Sekiranya umat Islam kembali
menghayati ajaran Islam, sudah pasti Islam mampu bangkit menguasai dunia.
Setiap
Muslim bertanggungjawab untuk menjadikan manifestasikan kecemerlangan Islam
sebagai satu kenyataan. Firman Allah
bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia.” - (Surah
Ali Imran, ayat 110).
Pengisian
yang mendukung prinsip kecemerlangan ajaran Islam perlu disuburkan kembali
dalam institusi masyarakat Islam di seluruh dunia. Negara-negara Islam perlu lebih beriltizam
untuk membangunkan negara masing-masing.
Semua
Muslim mempunyai tanggungjawab mencapai kecemerlangan berdasarkan kepada nilai
hidup yang dianjurkan oleh ajaran Islam. Kita perlu sentiasa menghayati pengertian jihad yang membawa kepada
kebaikan.
Setiap
usaha tidak mencapai kecemerlangan jika tidak dilakukan dengan semangat yang
kental dan jitu. Biarpun susah dan
berdepan dengan rintangan, jika tetap istiqamah, insya-Allah akan beroleh
kejayaan.
Sikap
mudah berpuas hati didorong oleh nafsu ingin bersenang-senang. Tidak ada istiqamah melawan nafsu menyebabkan
umat Islam terus dilanda kemunduran. Sebab itu umat Islam perlu sentiasa berjihad melawan nafsu.
Ketiadaan
keikhlasan dan keyakinan diri menjadi penyebab hilang arah perjuangan sehingga
melakukan tindakan yang menyalahi jihad Islam. Kejayaan
dan kecemerlangan tidak mampu dicapai jika hanya dilakukan dalam tempoh masa
yang singkat.
Rasulullah
menganjurkan agar setiap usaha dilakukan dengan istiqamah dan memastikan
kejayaan.
Sejarah
membuktikan umat Islam telah mencapai beberapa siri tamadun sehingga yang
terakhir dengan jatuhnya kerajaan Othmaniah yang berpusat di Turki. Sebelum itu kita bermegah dengan tamadun
kerajaan Umaiyah dan Abbasiah.
Kejayaan
Barat yang diasaskan di Eropah merupakan hasil kecemerlangan ilmu yang dicedok
asasnya di kota Baghdad. Boleh dikatakan
semua cabang ilmu bermula dari penyelidikan dan percambahan oleh ilmuan Islam.
Proses
Islamisasi pelbagai cabang ilmu perlu dipertingkatkan agar ia menepati keperluan
semasa umat Islam. Semua cabang ilmu
diterima dalam Islam selagi ia mendatangkan manfaat untuk menjalankan tugas
sebagai hamba-Nya.
Wujudnya
fahaman yang mengasingkan ilmu akhirat dan ilmu dunia, menjadikan umat Islam
keliru. Pecahan bidang ilmu lebih tepat
dikategorikan kepada ilmu fardu ain dan dan fardu kifayah.
Kedua-dua
cabang ilmu tersebut saling melengkapi yang melahirkan insan yang mencapai
kejayaan di dunia dan akhirat.
Melalui
penguasaan ilmu, semangat yang jitu, keikhlasan, daya kreativiti, ketakwaan dan
keterbukaan dalam penerimaan, tingkat keupayaan umat Islam dalam semua jurusan
kehidupan akan kembali cemerlang.
Pada
hakikatnya, kejayaan Barat menguasai umat Islam berpunca daripada kelemahan
umat Islam sendiri. Umat Islam bukan saja
gagal memajukan diri, bahkan tidak berupaya mempertahankan hak sendiri.
Menurut
Syeikh Muhammad al-Ghazali, umat Islam lebih hampir kepada mati daripada hidup,
umat yang tidak berdaya berbuat apa-apa selain berteriak, retorik dan melolong,
malah tidak pandai menggunakan kekayaan yang dikurniakan Allah sehingga begitu
mudah ‘disedekahkan’ kepada musuh, yang akhirnya ‘menyembelih’ umat Islam
sendiri.
No comments:
Post a Comment