Tuesday 23 July 2024

POS SIMPOR GUA MUSANG, PETEMPATAN ORANG ASLI

 
Pos Simpor merupakan salah satu petempatan Orang Asli suku Temiar di Gua Musang. Pos Simpor didiami kira-kira 1000 orang penduduk di 12 kampung iaitu Kampung Penad, Kampung Sedal, Kampung Sumbang, Kampung Ceranok, Kampung Dandut, Kampung Jader Lama, Kampung Pahoj, Kampung Kledang, Kampung Pos Simpor, Kampung Halak, Kampung Rekom dan Kampung Tihok.
 
Kedudukan Pos Simpor memang jauh di pedalaman belantara, iaitu kira-kira 98 kilometer (km) dari bandar Gua Musang. Untuk sampai ke Pos Simpor perlu melalui jalan lori balak yang hanya boleh dilalui mengggunakan kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang mengambil masa kira-kira empat jam, jika keadaan jalan elok atau tidak becak dan berlumpur.
 
Keadaan laluan yang tidak elok, terutama ketika musim tengkujuh, menjadi cabaran besar kepada penduduk untuk mendapatkan bekalan keperluan harian atau melakukan urusan tertentu di bandar Gua Musang.
 
Kanak-kanak dari Pos Simpor bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tohoi yang terletak kira-kira 50 km, atau di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis yang terletak lebih jauh lagi. Untuk sekolah menengah pula mereka ditempatkan di Sekolah Menengah Panggung Jaya, yang terletak di Kuala Betis, sekolah yang dikhaskan kepada pelajar Orang Asli untuk seluruh Kelantan.
 
Biarpun terletak jauh di pedalaman, Pos Simpor sering menjadi kunjungan pihak luar seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), peminat kembara 4x4 dan pencinta alam semula jadi. Mereka melakukan aktiviti yang dapat mendedahkan masyarakat Orang Asli kepada kehidupan lebih baik.
 


No comments:

Post a Comment