Friday, 29 December 2023

SERUAN JIHAD MENGUBAH KEPADA LEBIH BAIK

 
Seluruh umat Islam perlu meningkatkan jihad mengubah keadaan menjadi lebih baik untuk umat Islam keseluruhannya. Jihad yang ikhlas adalah bukti kepada keteguhan iman dan kesungguhan untuk merealisasikan tanggungjawab sebagai muslim.
 
Jihad dalam Islam meliputi segala usaha dan perjuangan yang menjurus kepada tertegaknya agama Allah supaya dapat diamalkan secara terbuka tanpa dihalang atau dimomokan oleh sesiapa.
 
Jihad tidak terhad berperang di medan perang, tetapi merangkumi segala aktiviti yang diperlukan dalam kehidupan umat Islam. Usaha untuk membangunkan masyarakat, memelihara dan memastikan keperluan masyarakat Islam dan manusia keseluruhannya terbela di atas prinsip keadilan juga merupakan sebahagian daripada jihad yang dituntut.  
 
Firman Allah yang bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benar. Dialah yang memilih kamu(untuk mengerjakan suruhan agamanya), dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama,” (Surah al-Hajj, ayat 78)
 
Dr Yusuf Qardhawi dalam bukunya Aina al-Khalal menyatakan, umat Islam sebenarnya bukan lemah tetapi kurang kesedaran, lupa diri, tidak menggunakan seluruh kekuatan dan potensi, tidak berdikari (banyak bergantung kepada Barat), daya fikir kerdil, sempit dan beku (jumud), budaya taklid yang merugikan, kekuatan rohani yang pudar, tandus ilmu, bankrap idea, muflis akhlak, ukhwah antara umat Islam yang lemah, kerja tidak berkualiti dan kurang produktiviti serta membiarkan saja sumber ekonomi dieksplotasi musuh. 
 
Sekiranya apa yang disebut di atas dapat diubah, sinar kejayaan dan kecemerlangan Islam dapat kembali menyinar seperti apa pernah dicapai pada era kegemilangan Islam dulu. Inilah cabaran perlu disahut oleh setiap individu muslim.   
 
Kita perlu sedar bahawa umat Islam perlu berada pada kedudukan lebih kuat jika ingin dihormati dan mengelak daripada dibuli oleh musuh-musuh Islam. Nasib umat Islam akan terbela jika mempunyai kekuatan atau kedudukan setanding dengan penganut agama lain.
 
Umat Islam mesti lebih bersedia menghadapi cabaran dengan penuh kesabaran dan ketakwaan, sehingga berjaya meraih kejayaan hakiki di sisi Allah. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas melaksanakan jihad untuk agama Allah akan mencapai kejayaan. Ia sesuai dengan tujuan Allah mencipta manusia untuk mengabdikan diri kepada-Nya. 
 
Jihad boleh dilakukan menggunakan lisan, penulisan, kekuatan tenaga, ilmu, kekayaan, profesion yang diceburi, kepakaran dan segala macam tindakan dan usaha yang menuju tercapainya maksud jihad.
 
Maksudnya di sini, semua keupayaan yang dimiliki oleh individu Islam mesti digemblingkan dalam satu saf perjuangan yang menuju satu matlamat merealisasikan mempertahankan kedaulatan Islam. Usaha ini mesti digerakkan berdasarkan kepada strategi dan mengikut keutamaan mana yang lebih diperlukan mengikut keadaan semasa.   
 
Firman Allah bermaksud: “Tidak sepatutnya bagi orang-orang mukmim itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak dalam setiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu pengetahuan tentang agama agar mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya supaya mereka itu dapat menjadi diri mereka.” (Surah at-Taubah, ayat 122)
 
Musuh Islam sentiasa berusaha menghakis jati diri Muslim. Provokasi dalam bentuk menghina, menidakkan hak kebebasan dan memperkecilkan kepentingan sesuatu amalan dalam Islam dilakukan secara terancang oleh musuh-musuh Islam di seluruh dunia.
 
Musuh Islam menguji dan menunggu tindak balas daripada umat Islam terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan. Dalam hal ini, umat Islam perlu bijak mengendalikan krisis provokasi itu. Tindakan kemarahan yang ekstrem dan luar kawalan akan memburukkan lagi imej umat Islam di seluruh dunia.
 
Umat Islam perlu meningkatkan semangat jihad untuk memperkuatkan kedudukan umat Islam.  Usaha menuntut ilmu dan menjana kemajuan ekonomi umat Islam mesti dijadikan agenda penting. Umat Islam tidak akan dihina dan menjadi mangsa sikap angkuh musuh-musuh Islam jika kedudukan umat Islam lebih kuat atau setidak-tidaknya menyamai apa yang mereka miliki. 

No comments:

Post a Comment