Wednesday 24 July 2024

SEKOLAH KEBANGSAAN SRI PERMAI, POS PASIK, GUA MUSANG

 
Sekolah Kebangsaan Sri Permai atau nama ringkasnya SK Sri Permai (SKSP) merupakan sebuah sekolah kebangsaan yang terletak di Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan.

SK Sri Permai terletak di kawasan pedalaman Orang Asli di Kelantan. Sebelum ini SK Sri Permai dikenali sebagai SK Pos Pasik. Ia kemudian telah ditukarkan kepada SK Sri Permai pada tahun 1998 kerana nama “pasik” adalah tidak sesuai untuk sekolah yang gurunya seratus peratus orang Islam.

SK Sri Permai terletak di tepi Sungai Jenera, berdekatan dengan sempadan Kelantan Perak. Di sebelak Perak, ia adalah kawasan Sungai Siput, Perak.

Sekolah ini dibina pada tahun 1973 dan murid-muridnya adalah terdiri daripada kalangan anak-anak orang Asli suku Temiar dari kampung-kampung berhampiran seperti seperti Kampung Bering, Kampung Pasik dan Pos Gob.

Asalnya, SK Sri Permai ditadbir dan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Namun, pada 1 Januari 1996, SK Sri Permai telah diambil alih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepenuhnya.

SK Sri Permai terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari bandar Gua Musang dan kira-kira 214 km dari bandar Kota Bharu.

Perjalanan dari Gua Musang ke SK Sri Permai melalui jalan bertar sejauh 46 km dan selebihnya jalan tanah merah atau jalan lori balak balak sejauh 34 km. Perjalanan masuk ke sekolah hanyalah dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda (4x4) atau motosikal sahaja yang memakan masa selama 2 hingga 4 jam bergantung kepada keadaan cuaca.

No comments:

Post a Comment