Sunday, 5 November 2023

MEMBINA NILAI KEJIRANAN POSITIF

 
Jiran ialah individu atau keluarga yang tinggal paling hampir dengan rumah kita. Segala perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui jiran. Jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian atau kematian sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara.
 
Sikap tolong menolong amat dituntut dalam Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah, ayat 2)
 
Namun malang sekali apabila apa yang berlaku dalam kejiranan sekarang tidak harmoni. Nikmat hubungan kejiranan semakin luntur dan hilang. Hidup kejiranan yang sepatutnya bergaul mesra telah bertukar ngeri apabila lebih banyak perkara buruk yang timbul.
 
Pergaulan tidak mesra menyebabkan hidup kejiranan menjadi seperti hidup di dalam penjara di rumah sendiri. Gaya hidup ini menjadi punca mengapa berlakunya tekanan dalam hidup. Keluarga dan jiran-jiran tidak lagi memberi nilai positif kepada diri untuk berdepan dengan suasana lebih luas dan mencabar.
 
Kurangnya interaksi dengan jiran menyebabkan kemahiran komunikasi, pembinaan akhlak, jati diri, budaya dan percambahan fikiran tidak berkembang dengan baik. Ini memberi kesan kepada keseluruhan hidup. Paling ketara berlaku kepada anak-anak di mana mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat. 
 
Kita perlu kepada fitrah manusia yang perlu wujud hubungan dengan individu atau keluarga lain. Budaya membina tembok konkrit sebagai pagar kawasan rumah mesti diubah. Sudah memadai jika dibuat pagar kawat atau besi untuk tujuan keselamatan.
 
Untuk menjaga hubungan baik dalam lingkungan kejiranan, perlu mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah serta kasih-sayang.
 
Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis dan dijauhkan. Usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Ia mesti dijadikan amalan berterusan. Ajaran Islam sesuai diamalkan dalam semua masyarakat, masa dan tempat sehingga hari kiamat.
 
Peraturan berjiran ini memberikan penyelesaian adil dan berterusan terhadap pelbagai penyakit yang biasa timbul dalam masyarakat. Tidak akan berlaku perkara buruk jika peraturan ditetapkan agama dipatuhi.
 
Mengapa kita sukar melakukan suruhan agama? Ia melibatkan pahala dan dosa seperti ibadat-ibadat lain. Menjaga hubungan kejiranan dikaitkan dengan iman. Keimanan seseorang masih belum sempurna jika tidak menghormati dan kasih jirannya.
 
Cuba kita muhasabah diri berkaitan hubungan kita dengan jiran. Jangan kita berasa sudah sempurna iman disebabkan kerap berulang alik ke masjid, sedangkan hubungan tidak baik dengan jiran. Tidak menghormati hak jiran, bergaduh dengan jiran dan wujud perasaan dendam.   
 
Dalam satu hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya.”

No comments:

Post a Comment