Tuesday 23 July 2024

POS GOB GUA MUSANG, PETEMPATAN ORANG ASLI

 
Pos Gob ialah sebuah kampung serta petempatan Orang Asli di jajahan Gua Musang, Kelantan. Petempatan ini didiami kira-kira 1000 penduduk Orang Asli suku Temiar. Pos Gob terletak di tebing Sungai Puian yang mengalir ke Sungai Jentera.
 
Kedudukan Pos Gob terletak jauh di pedalaman. Jarak dengan pusat bandar Gua Musang melebihi 100 kilometer (km). Pekan terdekat adalah Kuala Betis terletak kira-kira 90 km. Perjalanan menuju Pos Gob perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4x4) kerana sepanjang jalan ada tidak bertar.
 
Dalam keadaan cuaca elok atau tidak hujan pada waktu itu atau waktu sebelumnya, masa perjalanan kira-kira empat hingga lima jam. Jika berlaku hujan atau musim hujan, perjalanan boleh mencecah lebih 10 jam untuk perjalanan sehala. Jika tidak bernasib baik, perjalanan tidak dapat diteruskan dan perlu bermalam di tengah hutan rimba.
 
Cabaran menempuh perjalanan sukar ini terpaksa dihadapi penduduk di Pos Gok setiap kali ingin pergi ke bandar Gua Musang bagi mendapatkan barang keperluan atau urusan tertentu.
 
Pada musim tengkujuh, penduduk menghadapi kesukaran untuk keluar ke bandar Gua Musang yang menyebabkan berlaku keputusan bekalan makanan. Satu-satunya cara untuk menghantar bekalan makanan ialah melalui penggunaan helikopter yang dilakukan agensi kerajaan.
 
Selain keadaan jalan yang tidak elok, penduduk juga sering berdepan dengan masalah jambatan yang selalu rosak. Bagaimanapun, masalah ini telah diatasi apabila tujuh jambatan besi telah dibina untuk menggantikan jambatan kayu. Projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah siap sepenuhnya.
 
Selian itu, jalan sejauh 34 km dari Pos Gob ke Pos Simpor telah dinaik taraf untuk memberi keselesaan kepada pengguna.
 
Biarpun keadaan jalan itu memberi masalah dan cabaran kepada penduduk, namun ia menjadi “syurga” dan laluan terbaik kepada peminat 4x4 yang sering memilih laluan tersebut menuju ke Pos Gob.
 
Untuk memenuhi keperluan tempat tinggal yang selesa peserta kembara 4x4, di Pos Gob terdapat chalet atau inap desa bagi kemudahan pengunjung. Selain untuk peserta kembara 4x4, ia juga terbuka kepada sesiapa yang ingin menyewa dan menginat di situ. Pengunjung pasti akan terpesona dengan keadaan sekitar yang damai dan indah 
dengan pemandangan berlatar belakang Banjaran Titiwangsa.
 
Penyediaan kemudahan inap desa membantu peningkatan aktiviti ekopelancongan di kawasan tersebut dan secara tidak langsung akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
 
Pembinaan inap desa itu dibiayai oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Selain kemudahan inap desa, terdapat juga dewan terbuka untuk memudahkan aktiviti diadakan dalam keadaan selesa.
 
Pendekatan secara holistik itu dilihat dapat memberi faedah kepada masyarakat setempat selain ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memajukan masyarakat Orang Asli. Ia dapat membantu menangani dan membasmi masalah kemiskinan dengan kadar kemiskinan dalam kalangan golongan itu adalah yang tertinggi di negara kita.












No comments:

Post a Comment