Saturday 17 December 2022

BERUNTUNG SESIAPA MENUTUP AIB SAHABAT

 
Salah satu ciri akhlak Islam ialah menutup aib seorang. Ketika seseorang muslim melihat yang lain memerlukan ainnya ditutup ia pun menutup. Ketika ia memerlukan pertolongan ia pun menolongnya.
 
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Barangsiapa meringankan beban seorang muslim di dunia maka Allah akan meringankan bebannya pada hari kiamat dan barang siapa yang menutup aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba selama hamba itu menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)
Maka, jangan mengungkit kisah hitam saudara kita yang lampau. Boleh jadi dia telah pun bertaubat dan taubatnya itu diterima Allah.
 
Membuka dosa yang telah ditutup oleh Allah adalah pelanggaran terhadap Allah. Takutilah balasan buruk daripada-Nya.
 
Kata al Imam Hasan al Basri: "Barang siapa yang menuduh saudaranya dengan suatu dosa yang telah diterima taubatnya oleh Allah, dia tidak akan mati sehinggalah dia sendiri akan ditimpa dosa seumpama itu." - Kitab Adab Hasan al Basri

Keuntungan dari menutup aib seorang muslim di dunia maka Allah di akhirat nanti akan menutup ainnya serta memberi pahala yang banyak. Pada hari akhirat iaitu hari yang semua rahsia apa pun akan terbongkar dan perkara apa pun tidak boleh disembunyikan.
 
Tetapi perlindungan Allah akan sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang mahu melindungi hamba-hamba Allah di dunia. Tidak mendedahkan rahsia mereka dan tidak membuka keaiban mereka.
 
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba menutup aib hamba yang lain di dunia kecuali pada hari kiamat akan menutup aibnya.” (Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment