Tuesday 3 January 2023

JANGAN SOMBONG DENGAN DOSA DILAKUKAN

 
Umat Islam digalakkan meminta keampunan daripada Allah SWT sepanjang masa. Manusia tidak pernah lari daripada melakukan sebarang kesalahan tanpa mengira waktu.
 
Terdapat pelbagai cara Allah SWT memberikan pengampunan kepada umat Islam iaitu yang pertama adalah dengan cara meminta sendiri keampunan. Umat Islam perlu mengakui kesilapan yang dilakukan dan sentiasa berusaha meminta keampunan daripada Allah SWT.
 
Allah SWT bagi pengampunan pada kita dengan jalan kita minta. Jadi kita diminta akui kesalahan, jangan sombong dengan kesalahan.
 
Orang boleh jadi jahat dan nakal kerana wujudnya sikap sombong. Syaitan menjadi jahat akibat sikap sombong dan takbur. Sikap takbur boleh menjadikan manusia jahat tanpa syaitan.
 
Orang kalau ada sifat takbur, dia boleh jadi jahat sendiri tanpa syaitan. Dia ada ilmu, dia salahkan orang itu dan orang ini. Dia sahaja betul dan dengan diri sendiri juga boleh berdosa kerana mengata, memperlekehkan dan merendahkan orang.
 
Sebab itu Allah SWT suruh kita bertaubat, orang takbur susah nak minta maaf pada manusia pada Allah SWT dan sebagai contoh kita rasa kita betul pada isteri padahal, kita sakitkan hati dia, buat macam-macam mengguris hati dia.
 
Cara kedua Allah memberi pengampunan adalah dengan melakukan amalan yang mendapat pahala jika dibuat dan pada masa sama mendapat pengampunan. Amalan berkenaan termasuk bersedekah, memberi ilmu, mengekalkan wuduk dan berpuasa pada Ramadan.
 
Kadang-kadang sampai satu tahap kita ghairah membuat amalan sehingga terlupa bertaubat. Sebab itu ada amalan yang apabila dibuat, dapat pahala dan pada masa sama mendapat pengampunan Allah.
 
Selain itu, apabila ditimpa musibah sehingga menyempitkan hati, ia juga antara cara untuk Allah memberi pengampunan kepada umatnya.
 
Apa yang membezakan musibah itu terhadap setiap manusia adalah bentuknya dan manusia tidak boleh sama sekali membezakan musibah dialami dengan orang lain kerana ia akan menyebabkan sukar mendapat kebahagiaan.
 
Musibah ada dalam pelbagai bentuk seperti diberi ujian tidak sihat, difitnah, kehilangan barangan, tidak baik dengan seseorang dan macam-macam lagi.
 
Dalam hadis Nabi ada menyebut untuk orang beriman datang musibah pada dia sebagai penghapus dosa, sekali pun duri tercucuk pada kaki pun ada penghapusan dosa.
 
Cara lain Allah mengampunkan dosa adalah dengan kurniaan langsung kerana Allah Maha Pemberi. Ia termasuk ketika jenazah diiringi ke kubur dan ketika penimbangan amalan kelak, yang mana pengampunan diberi secara langsung.
 
Pada zaman sekarang sesiapa sahaja sukar untuk menjadi baik, namun Allah sentiasa tahu usaha untuk kita menjadi baik.
 
Oleh itu, di dalam hati perlu ada cita-cita hendak jadi baik kerana Allah akan bagi secara langsung.
 
Usaha lain Allah memberikan pengampunan kepada umatnya adalah dengan doa daripada orang lain kepada kita antaranya adalah anak soleh yang mendoakan serta yang terakhir dengan syafaat Nabi.
 
Kita perlu belajar memaafkan orang supaya setiap amalan yang dilakukan memudahkan dihisab nanti. Ini kerana dibimbangi sifat tidak memaafkan orang lain menyebabkan seseorang itu tidak dapat masuk ke syurga.
 
Semua orang ada sifat marah tetapi apabila letak marah pada bukan tempat yang betul, ia menjadi zalim. Sifat marah adalah sifat iblis.

No comments:

Post a Comment