Tuesday 22 November 2022

JAUHI SIKAP MEMBENCI SESAMA MUSLIM

 
Agama Islam adalah agama persaudaraan. Seluruh umat Islam adalah bersaudara. Jadi, janganlan kita bersikap benci antara sesama Islam.
 
Saling membelakangi atau saling bermusuh sesama Muslim adalah dilarang sama sekali. Setiap muslim dituntut saling bersaudara dan berkasih sayang. Islam adalah agama rahmah saling berkasih sayang, bukan membenci dan memusuhi.
 
Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)
 
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Janganlah kalian saling membenci, janganlah saling mendengki dan janganlah kalian saling membelakangi dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara, dan tidak halal bagi seorang muslim mendiamkan saudaranya melebihi tiga malam." (Hadis riwayat Bukhari No: 5612) Status: Hadis Sahih
 
Amat jelas bahawa Islam melarang sifat saling membenci sesama Muslim tidak kira atas alasan apa sekali pun, tambah-tambah lagi disebabkan berlainan ideologi politik. Politik sebatutnya menyatukan, bukan merenggangkan.
 
Islam juga melarang sifat saling dengki atau iri hati terhadap kelebihan orang lain. Jika ingin mendapat seperti orang lain, berusahalah dengan bersungguh-sungguh. Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, melainkan orang itu sendiri berusha untuk mengubahnya.
 
Jika berdepan kegagalan, jangan mudah menyalahkan orang lain sebagai puncanya. Muhasabah diri sendiri untuk mencari kelemahan diri.
 
Tinggalkanlah segala umpat keji, fitnah yang mungkin dilakukan sebelum ini. Jalinkanlah kembali ikatan ukhuwah sesama muslim. Menjaga ukhuwah itu wajib seperti kita menjaga solat dan puasa.
 
 

No comments:

Post a Comment