Wednesday 1 January 2020

LANGGAR RINDU MADRASAH AL INSAN SAKA IMAN

Madrasah Al Insan Saka Iman ditubuhkan Abdul Karim Embong untuk memberi pendidikan agama percuma kepada pelajar. Bertempat di Kampung Rhu Tapai, Merang, Terengganu. 

Madrasah tersebut  ingin membuka peluang seluas-luasnya kepada remaja menjadi penghuni di situ, namun kekangan kemudahan asrama atau tempat tinggal serta ruang untuk belajar menyebabkan impian murni itu terbantut.

Pun begitu, dengan khudrat dan sumber kewangan yang terhad itu tidak sekali-kali mematahkan semangat Abdul Karim untuk terus berusaha menyediakan kemudahan sekadar yang termampu.

Sebagai 'markas' permulaan, sebuah surau yang dinamakan Langgar Rindu telah dibina secara berperingkat-peringkat. Seunik namanya, Langgar Rindu mempunyai seni binaan luar biasa yang telah mendapat pengiktirafan 'binaan paling unik' oleh pengunjung yang pernah melancong ke seluruh pelusuk dunia.

Sesiapa sahaja yang melihat binaan Langgar Rindu pasti akan kagum dengan keunikan binaannya yang melambangkan kesungguhan dan keikhlasan Abdul Karim membinanya.

Langgar Rindu yang terletak di jalan utama Kuala Terengganu-Merang di Kampung Rhu Tapai,  kini menjadi tumpuan dari dalam dan luar negara terutama selepas ia tular di media sosial.

Langgar Rindu pasti mampu memukau pandangan sesiapa sahaja yang melihat struktur binaannya apatah lagi ia diperbuat dari kayu tembesu dan kayu cengal sepenuhnya. Ada kayu yang digunakan itu telah berusia ratusan tahun.

Dek kerana keunikan Langgar Rindu yang memukau pandangan itu, ia turut mendapat perhatian pengunjung bukan Islam yang sangat mengkagumi keindahan seni binanya untuk merakam foto dan video sebagai kenangan berkunjung ke Terengganu. 

Selain itu, ramai pengunjung yang menghulurkan sumbangan bagi membiayai pembinaan dan pengurusannya. Bukan Islam juga tidak ketinggalan memberi sumbangan biarpun mengetahui ia bertujuan untuk pendidikan Islam.

Sesungguhnya, niat ikhlas semata-mata hanya kerana Allah akan dipermudahkan untuk mencapai apa yang diimpikan.

Ternyata, Langgar Rindu kini menjadi satu lagi destinasi tumpuan pelancong di Terengganu, khususnya di Rhu Tapai, Merang.

Catatan: Perkataan 'langgar' adalah bermaksud surau.

1 comment:

  1. Semoga dipermudahkan urusan poksu
    Hari ini 26/12/2021 saya berkesempatan melawat ke langgar rindu

    ReplyDelete