Saturday 16 September 2023

FILEM “TUMPAT BERDARAH”

 
Filem televisyen (FTV) berjudul Tumpat Berdarah mengetengahkan kisah permusuhan dua pemilik kilang padi di Tumpat, Kelantan untuk menguasai perniagaan sejak 1961 sehingga tercetusnya dendam tradisi dua keluarga.
 
Kisah menarik yang turut membawa keistimewaan dikir barat di Kelantan itu cetusan idea penerbit Razor's Edge Pictures, Datuk Saniboey Mohd Ismail.
 
Filem itu dimulakan dengan babak yang memaparkan persengketaan Wan Nawang lakonan Z Zamri dan Mat Tok Kaya (Muhamad Zaidi Yunus) dalam lokap.
 
Perseteruan tidak terhenti, malah disambung oleh anak mereka iaitu Nuari yang juga anak Mat Tok Kaya (Issey Fazlisham) dan Wan Nawi, anak Wan Nawang (Asrul Faizal).
Lebih memburukkan keadaan apabila adik Nuari iaitu Anis (Oktovia Manrose) menjalin hubungan cinta dengan adik Wan Nawi iaitu Wan Zaki (Mathni Razak).
 
Kedegilan Anis dan Wan Zaki untuk meneruskan percintaan dengan mengabaikan permusuhan antara keluarga mendapat tentangan hebat abang termasuk ibu bapa, sekali gus menjadi pendakian plot cerita yang lebih memukau.
 
Seperti filem lain, Tumpat Berdarah tidak terkecuali dengan penamat gembira, namun apa yang unik penyatuan dua keluarga dileraikan menerusi persembahan dikir barat.
Guru dikir barat, Nik Dir (Sabri Yunus) yang juga pengarah filem menjadi watak penting untuk menyatukan kedua-dua keluarga.
 
Segala persengketaan terjadi sejak puluhan tahun lalu dirungkai oleh Nik Dir menerusi persembahan dikir barat selama 15 minit di penghujung filem.
 
Ia adalah babak 'eksperimen' yang cuba dibawa penerbit, selain memaparkan Wan Zaki dan Nuari yang saling mengakui kesilapan menerusi dikir barat.
 
Secara keseluruhan filem berjaya mengetengahkan budaya masyarakat Kelantan di samping memberi pengajaran bahawa konflik tercetus tidak wajar bersambung dan diteruskan oleh generasi anak cucu.

No comments:

Post a Comment