Sunday 1 October 2023

Jumlah subsidi ditanggung kerajaan

 
Banyak negara mempunyai program perlindungan sosial untuk meringankan beban rakyat, terutama kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana. Antara contoh program perlindungan sosial ialah pemberian tunai, penetapan harga siling barangan keperluan serta subsidi minyak, elektrik, kesihatan dan pendidikan.

Di Malaysia, subsidi telah menjadi sebahagian daripada ekonomi negara sejak berpuluh tahun sehingga rakyat sentiasa berharap kerajaan terus menyediakannya. Ini kerana rakyat terlalu biasa dengan perkhidmatan dan barangan bersubsidi seolah-olah ia menjadi hak mereka yang tidak boleh dipisahkan.

Berikutan usaha kerajaan untuk membetulkan kedudukan kewangan negara dengan mengimbangi hasil dan perbelanjaan, timbul gesaan agar sistem subsidi yang diamalkan sekarang diubah. Salah satu cadangan pembaharuan utama ialah menggantikan mekanisme subsidi pukal yang memberi manfaat kepada semua, termasuk golongan berpendapatan tinggi kepada satu kaedah lebih fokus kepada keperluan golongan yang memerlukan bantuan.

Kerajaan telah lama memberi subsidi kepada barangan dan perkhidmatan asas bagi mengurangkan beban rakyat. Antaranya ialah subsidi beras, tepung, minyak masak, ayam dan telur, elektrik, petrol, diesel, gas memasak, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Bagaimanapun, subsidi tidak menjadikan kos barangan lebih murah. Apa yang berlaku ialah pengguna hanya membayar sebahagian kecil daripada kos membeli barangan terbabit, manakala selebihnya ditanggung kerajaan. Bahagian ditanggung kerajaan itulah yang disebut sebagai subsidi.

Di sinilah masalahnya. Selepas bertahun, kos tanggungan subsidi, termasuk bantuan sosial, semakin meningkat. Pada 2008, kos subsidi berjumlah RM35.2 bilion. Pada tahun 2022, ia meningkat kepada RM67.4 bilion, peningkatan hampir dua kali ganda.

Jumlah subsidi pada 2022 menyumbang hampir 4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia – iaitu jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan, dan merupakan hampir 23 peratus daripada perbelanjaan mengurus kerajaan.

Dalam kata lain, hampir satu perempat perbelanjaan mengurus kerajaan digunakan untuk memberi subsidi, bukannya kepada perkara yang mungkin lebih produktif untuk negara.

Dari sudut lain, hampir satu-pertiga daripada jumlah hasil kerajaan pada 2022 yang berjumlah RM234 bilion digunakan untuk subsidi. Ini bermakna, bagi setiap ringgit yang dikutip kerajaan, 30 sen disalurkan kepada subsidi.

Perbelanjaan subsidi yang diunjurkan Kerajaan untuk 2023 adalah sebanyak RM58.6 billion. Walaupun lebih rendah berbanding peruntukan 2022, jumlahnya masih besar dan tidak seharusnya kekal begitu.

Kerajaan memberi subsidi kepada banyak barangan dan perkhidmatan. Beras kita yang dijual pada harga RM2.60 sekilogram adalah antara terendah di Asia Tenggara. Caj pesakit luar hospital kerajaan hanya RM1. Pendidikan rendah dan menengah pula percuma. Kursus Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan di Universiti Malaya hanya perlu bayar RM14,990 untuk keseluruhan program – antara yang terendah di dunia - namun harus diingat bahawa sebahagian daripada kos ini turut disubsidi oleh kerajaan.

Malah, hampir keseluruhan bidang pendidikan diberi subsidi walaupun tidak dipanggil sedemikian. Bantuan diberi dalam bentuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Makanan Prasekolah, Skim Pinjaman Buku Teks, Bantuan Awal Persekolahan dan Biasiswa Kecil Persekutuan.

Senarai barangan dan perkhidmatan bersubsidi sebenarnya lebih panjang. Bagaimanapun, bahagian paling besar ialah subsidi bahan api dan elektrik.

Dua sektor ini menyumbang RM60.6 bilion atau lebih 90% daripada jumlah perbelanjaan subsidi pada 2022. Untuk bahan api (diesel, petrol dan gas memasak) sahaja mencecah kira-kira RM50.8 bilion (77 peratus), manakala subsidi elektrik pula berjumlah RM9.8 bilion (14.8 peratus).

Di Malaysia, sebahagian subsidi, seperti untuk bahan api, diberikan secara menyeluruh di mana semua orang tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mendapat manfaat.

Masalah subsidi pukal seperti ini ialah ia menguntungkan mereka yang paling banyak menggunakannya. Parlimen baru-baru ini diberitahu, kumpulan T20 mendapat lebih daripada sepatutnya dalam subsidi bahan api. Mereka hanya 20 peratus daripada populasi tetapi menikmati 35 peratus subsidi bahan api.

Ini kerana keluarga berada yang mempunyai dua atau tiga kenderaan, akan menggunakan lebih banyak minyak berbanding keluarga kurang mampu yang hanya memiliki sebuah motosikal.

Misalnya, dengan mengambil kira petrol RON 95 berharga RM2.05 seliter dengan kerajaan memberi subsidi RM1.50 seliter daripada kos sebenar, bermakna penunggang motosikal daripada golongan berpendapatan rendah yang menggunakan 100 liter sebulan hanya menikmati subsidi RM150. Bagaimanapun, keluarga berada dengan dua hingga empat kereta yang menggunakan 1,000 liter sebulan menikmati subsidi RM1,500.

Jadi, siapa sebenarnya mendapat manfaat daripada subsidi ini? Siapa di antara dua pihak ini lebih layak mendapat bantuan kerajaan? Satu masalah lagi ialah isu ketirisan. Berapa kerapkah kita melihat media melaporkan kereta negara asing masuk ke Malaysia untuk mengisi petrol RON 95? Ini kerana harga petrol di Malaysia jauh lebih murah berbanding negara jiran.

Justeru, subsidi kita bukan saja tidak berkesan malah ia turut memanfaatkan warga asing. Kita juga membaca berita mengenai kes penyeludupan diesel dan gas memasak. Subsidi elektrik pun serupa. Disebabkan harga sengaja dikekalkan rendah, kita tidak berjimat menggunakannya sehingga melebihi keperluan atau membazir elektrik.

Sebagai contoh, penyaman udara dibuka sepanjang hari. Bagi firma perniagaan pula, tiada sebab bagi mereka melabur dalam peralatan cekap tenaga kerana harga elektrik murah. Namun, bagi tenaga elektrik, kerajaan sudah mula melaksanakan subsidi bersasar dengan mengenakan surcaj 10 sen setiap kWh kepada pengguna isi rumah domestik yang menggunakan lebih daripada 1,500 kWh sebulan. 

Sebenarnya banyak kaedah yang lebih berkesan untuk meringankan beban rakyat. Satu contoh yang baik ialah pemberian tunai. Apabila subsidi pukal yang tidak produktif dihapuskan, akan berlaku penjimatan ketara dalam tabung kerajaan.

Sebahagian daripadanya boleh dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pemberian tunai. Rakyat bebas menggunakannya mengikut keperluan mereka, bukannya terhad kepada produk dan barangan terpilih yang disubsidi oleh kerajaan.

Cara lain ialah melalui subsidi bersasar di mana hanya kumpulan tertentu yang benar-benar memerlukan bantuan, dibenarkan membeli pada harga subsidi.

Harus diingat, bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan berkesan, sistem dan infrastruktur sokongan perlu disediakan untuk memastikan tiada penyalahgunaan. Sistem ini pula memerlukan penyelenggaraan dan peningkatan berkala. 

SUMBER 


No comments:

Post a Comment