Sunday 8 March 2020

ORANG BERIMAN TIADA SIKAP DENGKI


Sikap dengki perlu ditentang. Orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan takutkan neraka akan berusaha untuk mengjauhkan sikap dengki. Untuk menghilangkan sikap dengki perlu dilakukan pembaikian diri dengan melakukan mujahadatunnafsi. Lawanlah bersungguh-sungguh sifat mazmumah itu.

Di antara langkah-langkah yang mesti kita lakukan sebagai mujahadah terhadap hasad dengki ialah setiap kali orang yang kita dengki itu apabila beroleh kejayaan, kita kunjungilah dia untuk mengucap tahniah dan bergembira bersamanya.

Sebaliknya apabila orang itu mendapat bencana atau musibah, kita kunjungi pula untuk mengucapkan takziah dan tumpang bersedih bersamanya.

Sanjung dan pujilah kebaikan dan keistimewaan orang yang kita hasad dengki itu di belakangnya dan kalau ada kesalahan dan keburukannya kita rahsiakan.

Selalulah ziarah dan beri hadiah pada orang yang kita dengki itu. Saling berhadiah itu melahirkan kasih sayang dan menjauhkan permusuhan.

‎Kalau ada orang cuba menjatuhkan orang yang kita dengki itu, kita pertahankan dia. Jangan layan orang (atau syaitan) yang hendak merosakkan mujahadah kita.

Berdoalah selalu pada Allah SWT agar memudahkan kita mengubat penyakit dengki yang amat bahaya dalam diri kita itu.

Ingatlah selalu janji Allah SWT, "Dan mereka yang berrnujahadah pada jalan Kami nescaya Kami tunjuki jalan-jalan Kami itu." (Al Ankabut: 69)

Timbul hasad dengki kita pada seseorang ialah kerana orang itu mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang mengatasi apa yang ada pada diri kita. Bila kita terasa orang itu telah mengalahkan kita dalam perjuangan, perlumbaan atau perniagaan maka datanglah dengki itu.

Sepatutnya tidak ada hasad dengki. Kalau kita beriman dengan Allah, yakin akan keadilan-Nya mengatur pemberian kepada hamba-hamba-Nya, kita tidak akan berdengki-dengkian lagi.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah an-Nisa, ayat 32)

Allah yang melebih dan mengurangkan pemberian-Nya kepada seseorang. Dan Allah adalah adil atas pemberian lebih dan kurang itu. Dia bermaksud menguji kita. Siapa yang sedar dirinya sebagai hamba-Nya, lalu akan sentiasa bersyukur pada nikmat yang diperolehi, redha dengan taqdir dan sabar menghadapi ujian.

‎Firman Allah SWT bermaksud: "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (Surah al-Mulk, ayat 2) 

No comments:

Post a Comment