Friday 6 May 2022

HUKUM SOLAT SUNAT AIDILFITRI

 
Ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Aidilfitri. Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia mereka berpegang kepada pendapat bahawa hukum solat hari raya adalah sunat muakkad (yang dituntut).

Ulama yang berpegang kepada pendapat ini berpandangan wujudnya hadis menyatakan solat yang hukumnya wajib hanyalah solat lima waktu dan ini membuktikan solat pada hari raya tidak termasuk di dalam kumpulan solat wajib.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ada lima solat yang diwajibkan Allah ke atas hamba-Nya. Maka siapa yang mengerjakannya dan tidak mensia-siakan walau satu pun di antaranya disebabkan menganggap mudah, Allah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga." (Hadis riwayat Nasai)

Ulama yang berpendapat solat pada hari raya itu fardu 'ain atau wajib, mereka melihatkan kesungguhan Nabi SAW dalam menganjurkan sahabat untuk mengerjakannya sebagai bukti kewajipannya.

Malah, Baginda sendiri tidak pernah gagal mengerjakan solat hari raya. Bahkan Baginda SAW memerintahkan wanita yang sedang haid untuk turut serta menghadirkan diri di masjid hanya untuk menyaksikan upacara solat hari raya itu. (Hadis riwayat Bukhari)

Tambahan pula bagi wanita yang tidak memiliki pakaian yang sempurna untuk menutup aurat diperintahkan dipinjamkan pakaian kepada mereka hanya semata-mata untuk turut serta di masjid. (Hadis riwayat Bukhari)

Pandangan akan wajibnya solat hari raya diperkuatkan dengan hakikat bahawa solat hari raya dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat jika keduanya terjadi pada hari yang sama. Hanya sesuatu yang wajib dapat menggugurkan kewajipan yang lain.

Daripada Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: "Aku pernah menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufyan yang bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: "Apakah engkau menyaksikan Rasulullah SAW menghadiri dua hari raya (hari raya dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari? Dia menjawab: Ya. Mu’awiyah bertanya: Lalu apa yang Baginda kerjakan? Dia menjawab: Baginda mengerjakan solat hari raya, kemudian Baginda memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: Barang siapa yang ingin solat (Jumaat), maka hendaklah dia solat." (Hadis riwayat Abu Daud)

Apa pun juga pendapat dipegang sama ada wajib mahupun sunat muakkad, ketahuilah Baginda SAW amat menitikberatkan supaya semua umat Islam memenuhi masjid termasuk golongan wanita.

Ini berbeza dengan amalan kebanyakan umat Islam di Malaysia iaitu golongan wanita hanya ditinggalkan di rumah untuk menyiapkan persediaan diperlukan di rumah sempena budaya rumah terbuka pada hari lebaran.

Budaya sedemikian perlu dikikis. Berusahalah untuk membawa seluruh isi keluarga menunaikan solat hari raya. Selepas selesai solat hari raya boleh teruskan apa juga agenda yang berupaya menggembirakan keluarga asalkan tidak bertentangan dengan syariat.

Waktu untuk mengerjakan solat hari raya adalah selepas terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincir matahari iaitu waktu duha. Disunnahkan untuk dilewatkan solat Aidilfitri supaya memberi kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya.

Daripada Ibnu 'Abbas bahawasanya Rasulullah SAW keluar pada hari raya kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya." (Hadis riwayat Bukhari)

Pelaksanaan solat hari raya sama dengan tatacara pelaksanaan solat dua rakaat yang lain, hanya ada tambahan 12 kali takbir di dalamnya. Pada rakaat pertama selepas takbiratul ihram dan doa iftitah serta sebelum bacaan surah al-Fatihah, disunatkan membaca takbir tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali.

Daripada 'Aisyah, dia berkata: "Bahawa Rasulullah SAW biasa bertakbir pada solat Aidilfitri dan Aidiladha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Mengenai bacaan di antara takbir itu, Syaikh 'Ali Hassan bin 'Ali al-Halabi al-Atsari berkata: "Tidak ada hadis sahih diriwayatkan daripada Nabi SAW mengenai doa tertentu yang dibaca antara takbir solat hari raya, tetapi sudah ditetapkan daripada Ibnu Mas'ud bahawasanya dia berkata mengenai solat hari raya: "Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah sekali gus sanjungan ke atas-Nya.

Berdasarkan Imam Ahmad dan Imam al-Syafi'i sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti dibacakan selalu dalam solat hari raya dan pendapat inilah dipilih umat Islam di Malaysia.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri, dia berkata: Pada Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW keluar menuju musala. Ketika itu yang pertama Baginda lakukan adalah solat hari raya. Kemudian Baginda berpusing dan menghadap jemaah yang sedang duduk di saf mereka. Kemudian Baginda memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka." (Hadis riwayat Bukhari)

Khutbah hari raya berbeza dengan khutbah Jumaat kerana ia tidak dibahagikan menjadi dua khutbah dan khatib tidak perlu duduk di antara dua khutbah tersebut.

Imam al-Nawawi berkata: Apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud bahawa dia mengatakan: "Disunahkan berkhutbah pada hari raya dengan dua khutbah yang keduanya dipisahkan dengan duduk adalah daif (lemah) lagi tidak bersambung. Tidak ada satu riwayat sahih pun yang menyebutkan dua khutbah."

Jemaah juga tidak diwajibkan menghadiri khutbah hari raya ini. Oleh itu, selepas selesai menunaikan solat hari raya bagi seseorang yang tidak ingin turut serta untuk mendengar khutbah, maka dia dibenarkan meninggalkan majlis.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin al-Sa’ib, dia berkata: Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi SAW dan ketika selesai solat Baginda bersabda: "Sesungguhnya kami akan berkhutbah, barang siapa ingin duduk untuk mendengarkan khutbah maka dipersilakan. Barang siapa yang ingin pergi, maka dipersilakan untuk pergi." (Hadis riwayat Abu Daud)

Demikianlah tatacara pelaksanaan solat Aidilfitri seperti yang ada dalam hadis Rasulullah SAW. Semoga Aidilfitri akan di sambut dengan penuh kemeriahan dan selari dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

Maka berbahagialah orang yang diberi taufik oleh Allah dalam beribadah kepada-Nya dengan mengikuti sunnah Nabi-Nya dan tidak mencampur aduk dengan amalan bid'ah. Oleh itu, hendaklah kita semua bergembira kerana ketaatan kita terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya diterima Allah.

Allah berfirman bermaksud: "Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar." (Surah an-Nisa, ayat 13).

No comments:

Post a Comment