Monday 4 October 2021

KETEGASAN GURU SERING DISALAH ANGGAP

Banyak kes guru menjadi sasaran ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan guru. Ketegasan guru untuk mendisiplinkan pelajar tidak disenangi ibu bapa sehingga membuat laporan polis, mendedahkan di media sosial dan sebagainya.

Aduan seumpama itu yang disiarkan akhbar dan televisyen kemudian mendapat perhatian ahli politik dan isu itu pun menjadi lebih besar. Guru terbabit dikenakan tindakan disiplin dan terpaksa mengharungi kehidupan masa depan lebih suram.

Guru berkenaan juga tidak berpeluang mendapat pembelaan sewajarnya padahal niat guru itu hanya untuk mengajar murid yang tidak berdisiplin.

Keadaan ini menyebabkan ada guru mengambil langkah ‘selamat’ dengan bersikap lepas tangan terhadap isu disiplin pelajar.

Walaupun niat guru itu baik, tidak semua ibu bapa menganggap apa yang dilakukan guru itu sebagai sesuatu yang baik. Ada tersalah sangka, lalu membuat pelbagai andaian dan tidak kurang pula melemparkan tuduhan tanpa usul periksa.

Apakah pembangunan dan kemajuan menyebabkan pandangan masyarakat kita terhadap tanggungjawab guru turut berubah?

Jika dulu, ibu bapa meminta guru ‘merotan’ anak mereka jika degil dan malas belajar, mereka kini lebih cenderung mengambil tindakan terhadap guru yang menghukum anak mereka.

Ada juga ibu bapa menyerang sekolah apabila menerima aduan daripada anak bahawa guru menyuruh mereka melakukan sesuatu sebagai hukuman.

Kita akui kadangkala ada sesetengah hukuman tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan murid, tetapi dalam kebanyakan kes, memang murid terbabit wajar menerima hukuman.

Bagi menghadapi keadaan ini, sudah tentu kita memerlukan garis panduan yang lebih jelas daripada Kementerian Pelajaran supaya isu berkenaan diatasi dengan sepenuh kebijaksanaan tanpa menjejaskan nama guru terbabit.

Berdasarkan perkembangan sekarang, badan-badan bukan kerajaan seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu serius untuk terlibat membantu membaiki disiplin pelajar. 

Gambar Masjid Ar Rahman, Pulau Gajah tiada kaitan dengan tulisan ini. Sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment