Monday 28 December 2020

ISU JALAN ROSAK BERLUBANG PERLU TINDAKAN SEGERA

Umum mengetahui, keadaan jalan berlubang sudah menjadi ‘identiti’ jalan di negara kita. Kisah pengguna jalan raya mendapat kemalangan mendatangkan kecederaan dan kematian telah banyak kali.

Namun, perkara ini seakan-akan tidak dipedulikan pihak bertanggungjawab menyelenggara jalan berkenaan tidak berindak pantas untuk memperbaiki atau menampal lubang yang berbahaya itu.

Kita sedia maklum, di negara kita ‘pemilik’ jalan raya mahupun lebuh raya melibatkan banyak pihak. Ada kategori jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran, jalan kampung dan agensi-agensi kerajaan, selain pihak swasta.

Kita amat berharap kerajaan melaksana dasar 'sifar jalan berlubang' bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Dasar itu diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan berpunca daripada jalan berlubang.

Isu ini sebenarnya membabitkan penyelenggaraan jalan yang tidak memuaskan. Antara kelemahan yang berlaku ialah kualiti penurapan jalan dilaksanakan kontraktor tidak mengikut standard sepatutnya.

Bukan itu saja, sikap tidak mengamalkan budaya keselamatan dalam kalangan masyarakat turut menyumbang masalah ini.

Untuk mengatasi perkara ini, pihak berkuasa perlu mewujudkan satu pasukan yang menjalankan rondaan di setiap kawasan.

Ini dapat mengenal pasti lokasi jalan berlubang dan tindakan segera boleh diambil.

Diperhatikan, setiap jalan berlubang diturap seperti 'melepaskan batuk di tangga'. Ini menjadikan penurapan itu sia-sia dan akan rosak semula dalam tempoh singkat.

Pihak berkuasa harus memastikan jalan diturap dengan sempurna, kualiti bahan digunakan mematuhi standard dan tidak mudah rosak, supaya jalan tidak senang berlubang.

Sudah menjadi satu tanggungjawab terhadap semua pihak untuk memastikan penyelenggaraan yang baik di semua tempat sama ada di bandar, mahupun luar bandar.

Paling ketara kerosakan jalan ialah disebabkan keadaan permukaan jalan yang teruk akibat kegagalan kontraktor menurap semula permukaan dengan sempurna selepas kerja mengorek jalan bagi pemasangan atau menyelenggara kemudahan seperti paip serta kabel di bawahnya.

Kontraktor yang dilantik bagi melakukan kerja sepatutnya perlu bertanggungjawab melaksanakan kerja berkenaan sehingga selesai serta mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mereka menyempurnakan kerja terbabit.

Banyak kes dan aduan yang melaporkan kerja sudah selesai tetapi penurapan semula jalan tidak sempurna hingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

No comments:

Post a Comment