Ulama
berbeza pendapat mengenai hukum solat Aidilfitri. Bagi kebanyakan umat Islam di
Malaysia mereka berpegang kepada pendapat bahawa hukum solat hari raya adalah
sunat muakkad (yang dituntut).
Ulama
yang berpegang kepada pendapat ini berpandangan wujudnya hadis menyatakan solat
yang hukumnya wajib hanyalah solat lima waktu dan ini membuktikan solat pada
hari raya tidak termasuk di dalam kumpulan solat wajib.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: "Ada lima solat yang diwajibkan Allah ke atas
hamba-Nya. Maka siapa yang mengerjakannya dan tidak mensia-siakan walau satu
pun di antaranya disebabkan menganggap mudah, Allah berjanji akan memasukkannya
ke dalam syurga." (Hadis riwayat Nasai)
Ulama
yang berpendapat solat pada hari raya itu fardu 'ain atau wajib, mereka
melihatkan kesungguhan Nabi SAW dalam menganjurkan sahabat untuk mengerjakannya
sebagai bukti kewajipannya.
Malah,
Baginda sendiri tidak pernah gagal mengerjakan solat hari raya. Bahkan Baginda
SAW memerintahkan wanita yang sedang haid untuk turut serta menghadirkan diri
di masjid hanya untuk menyaksikan upacara solat hari raya itu. (Hadis riwayat
Bukhari)
Tambahan
pula bagi wanita yang tidak memiliki pakaian yang sempurna untuk menutup aurat
diperintahkan dipinjamkan pakaian kepada mereka hanya semata-mata untuk turut
serta di masjid. (Hadis riwayat Bukhari)
Pandangan
akan wajibnya solat hari raya diperkuatkan dengan hakikat bahawa solat hari
raya dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat jika keduanya terjadi pada hari
yang sama. Hanya sesuatu yang wajib dapat menggugurkan kewajipan yang lain.
Daripada
Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: "Aku pernah menyaksikan
Mu’awiyah bin Abi Sufyan yang bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya:
"Apakah engkau menyaksikan Rasulullah SAW menghadiri dua hari raya (hari
raya dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari? Dia menjawab: Ya.
Mu’awiyah bertanya: Lalu apa yang Baginda kerjakan? Dia menjawab: Baginda
mengerjakan solat hari raya, kemudian Baginda memberikan keringanan dalam hal
(mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: Barang siapa yang ingin solat
(Jumaat), maka hendaklah dia solat." (Hadis riwayat Abu Daud)
Apa
pun juga pendapat dipegang sama ada wajib mahupun sunat muakkad, ketahuilah
Baginda SAW amat menitikberatkan supaya semua umat Islam memenuhi masjid
termasuk golongan wanita.
Ini
berbeza dengan amalan kebanyakan umat Islam di Malaysia iaitu golongan wanita
hanya ditinggalkan di rumah untuk menyiapkan persediaan diperlukan di rumah
sempena budaya rumah terbuka pada hari lebaran.
Budaya
sedemikian perlu dikikis. Berusahalah untuk membawa seluruh isi keluarga
menunaikan solat hari raya. Selepas selesai solat hari raya boleh teruskan apa
juga agenda yang berupaya menggembirakan keluarga asalkan tidak bertentangan
dengan syariat.
Waktu
untuk mengerjakan solat hari raya adalah selepas terbitnya matahari setinggi
tombak sehingga tergelincir matahari iaitu waktu duha. Disunnahkan untuk
dilewatkan solat Aidilfitri supaya memberi kesempatan mereka yang belum
menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya.
Daripada
Ibnu 'Abbas bahawasanya Rasulullah SAW keluar pada hari raya kemudian solat dua
rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya." (Hadis
riwayat Bukhari)
Pelaksanaan
solat hari raya sama dengan tatacara pelaksanaan solat dua rakaat yang lain,
hanya ada tambahan 12 kali takbir di dalamnya. Pada rakaat pertama selepas
takbiratul ihram dan doa iftitah serta sebelum bacaan surah al-Fatihah,
disunatkan membaca takbir tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali.
Daripada
'Aisyah, dia berkata: "Bahawa Rasulullah SAW biasa bertakbir pada solat
Aidilfitri dan Aidiladha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat
kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Mengenai
bacaan di antara takbir itu, Syaikh 'Ali Hassan bin 'Ali al-Halabi al-Atsari
berkata: "Tidak ada hadis sahih diriwayatkan daripada Nabi SAW mengenai
doa tertentu yang dibaca antara takbir solat hari raya, tetapi sudah ditetapkan
daripada Ibnu Mas'ud bahawasanya dia berkata mengenai solat hari raya: "Di
antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah sekali gus sanjungan ke
atas-Nya.
Berdasarkan
Imam Ahmad dan Imam al-Syafi'i sunat di antara dua takbir itu membaca zikir
seperti dibacakan selalu dalam solat hari raya dan pendapat inilah dipilih umat
Islam di Malaysia.
Daripada
Abu Sa'id al-Khudri, dia berkata: Pada Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW
keluar menuju musala. Ketika itu yang pertama Baginda lakukan adalah solat hari
raya. Kemudian Baginda berpusing dan menghadap jemaah yang sedang duduk di saf
mereka. Kemudian Baginda memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada
mereka." (Hadis riwayat Bukhari)
Khutbah
hari raya berbeza dengan khutbah Jumaat kerana ia tidak dibahagikan menjadi dua
khutbah dan khatib tidak perlu duduk di antara dua khutbah tersebut.
Imam
al-Nawawi berkata: Apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud bahawa dia
mengatakan: "Disunahkan berkhutbah pada hari raya dengan dua khutbah yang
keduanya dipisahkan dengan duduk adalah daif (lemah) lagi tidak bersambung.
Tidak ada satu riwayat sahih pun yang menyebutkan dua khutbah."
Jemaah
juga tidak diwajibkan menghadiri khutbah hari raya ini. Oleh itu, selepas
selesai menunaikan solat hari raya bagi seseorang yang tidak ingin turut serta
untuk mendengar khutbah, maka dia dibenarkan meninggalkan majlis.
Diriwayatkan
daripada ‘Abdullah bin al-Sa’ib, dia berkata: Aku pernah menghadiri solat hari
raya bersama Nabi SAW dan ketika selesai solat Baginda bersabda:
"Sesungguhnya kami akan berkhutbah, barang siapa ingin duduk untuk
mendengarkan khutbah maka dipersilakan. Barang siapa yang ingin pergi, maka
dipersilakan untuk pergi." (Hadis riwayat Abu Daud)
Demikianlah
tatacara pelaksanaan solat Aidilfitri seperti yang ada dalam hadis Rasulullah
SAW. Semoga Aidilfitri akan di sambut dengan penuh kemeriahan dan selari dengan
perintah Allah dan Rasul-Nya.
Maka
berbahagialah orang yang diberi taufik oleh Allah dalam beribadah kepada-Nya
dengan mengikuti sunnah Nabi-Nya dan tidak mencampur aduk dengan amalan bid'ah.
Oleh itu, hendaklah kita semua bergembira kerana ketaatan kita terhadap
perintah Allah dan Rasul-Nya diterima Allah.
Allah
berfirman bermaksud: "Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya,
akan dimasukkan Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa
sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar." (Surah
an-Nisa, ayat 13).
No comments:
Post a Comment