Saturday 27 March 2021

TIDAK PERLU FOKUS BETULKAN KESALAHAN

Membetulkan kesalahan tidak menjamin kesalahan yang sama tidak berulang kembali. Jadi, tidak perlu marah atau kecewa dengan apa yang telah berlaku. 

Apa yang perlu difikirkan atau tindakan perlu dilakukan ialah berusaha untuk tidak mengulangi kesalahan. Jadi, kesalahan dahulu sebagai pengajaran. Namun, ia tidak perlu terlalu 'takut' kepada kesalahan itu berulang lagi. 

Keadaan menekan atau terlalu takut akan menyebabkan fikiran lebih tertumpu kepada tidak mengulangi kesalahan itu, berbanding memikirkan kepada perkara yang lebih baik perlu dilakukan. 

Sebab itu, sebagai pemimpin tidak patut mengulang-ulang tentang kesalahan lalu, biarpun sebagai pengajaran. 

Apa yang penting ialah perlu mendorong anak buah kita melakukan perkara yang betul.

Tugas utama pemimpin dan ketua adalah mendorong anak-anak buahnya supaya mereka mahu berubah menjadi individu yang lebih baik.

Itu adalah ciri gaya kepimpinan transformasi iaitu gaya kepimpinan yang paling baik dan berkesan.

Kepimpinan transformasi itu ibarat tugas mendorong pipit supaya berubah menjadi helang, ataupun mendorong keldai supaya berubah menjadi kuda.

Pemimpin gaya transformasi mampu mendorong perubahan tingkah laku pada anak-anak buahnya berhenti melakukan perbuatan yang salah dan buruk. Dalam ilmu psikologi, itu disebut sebagai memadam perbuatan negatif.

Mereka berhenti melakukan perbuatan buruk itu atas kehendak mereka sendiri, bukan disebabkan mereka disuruh ataupun dipaksa oleh pemimpin mereka.

Sebagai contoh, sebelum ini pekerja sering lambat menjalankan tugas. Kerja yang dapat disiapkan dalam masa satu hari disiapkan dalam masa tiga hari. Namun, kini mereka tidak lagi berlambat-lambat menjalankan tugas.

Pemimpin gaya transformasi juga mampu mengubah anak buah ingin melakukan perbuatan yang betul dan baik. Mereka sendiri mengubah cara kerja mereka.

Mereka bekerja dengan bersemangat, dan mereka mencipta cara kerja baharu supaya tugas dapat disiapkan dalam masa yang lebih singkat.

Gambar: Membetulkan atau membaiki plat kereta yang rosak bukan satu fokus betulkan kesalahan, tetapi melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.  

No comments:

Post a Comment