Tuesday 22 October 2019

BELALANG GORENG SEDAP DIMAKAN


Hukum makan belalang ialah harus. Dalam masyarakat Melayu, terutama yang tingga di kawasan tanaman padi, belalang menjadi hidangan lazat, terutama digoreng.

Belalang goreng menjadi snek atau makanan ringan. Belang ditangkap menggunakan tangan mahupun penyauk atau pukat bermata kecil yang dapat memerangkap belalang.

Masa terbaik untuk menangkap belalang ialah pada waktu malam dan awal pagi. Ketika itu belalang tidak aktif.

Belalang ialah sejenis serangga yang bersayap dan berkaki panjang. Belalang dianggap sebagai serangga perosak kerana makan pucuk tanaman.

Jadi, menangkap belalang bukan sahaja untuk dimakan, tetapi juga dapat mengurangkan kesan kerosakan yang disebabkan oleh belalang.

Terdapat banyak jenis belalang seperti belalang bajang, belalang daun, belalang hijau, belalang jarum, belalang kunyit, belalang mekah, belalang padi, belalang patung, belalang pelesit, belalang ranting, belalang rusa dan banyak lagi.

Namun, dua jenis belalang yang biasa ditangkap untuk dimakan ialah belalang kunyit dan belalang beras. Paling banyak ditangkap ialah belalang beras.

Belalang digoreng sama ada tanpa menggunakan minyak (dengan api yang perlahan) dan menggunakan minyak panas. Belalang goreng rasanya ranggup dan masin manis.

Belalang ukuran besar biasanya kena buang kepala dan kaki sebelum dimakan. Kaki belalang besar lebih keras dan ada 'duri' pada bahagian kaki.

Harga belalang siap digoreng sekarang ini agak mahal. Harganya boleh mencecah sehingga RM60 sekilogram (harga di Kelantan).

Namun, bagi peminatnya, harga tidak menjadi halangan untuk membelinya. Kalaupun tidak membeli satu kilogram, sudah memadai beberapa ratus gram sahaja.

No comments:

Post a Comment