Tuesday 10 July 2018

GURAUAN MEMBAWA KEPADA PERBUATAN MENGUMPAT


Mengumpat ialah bercerita tentang perihal keburukan dan kelemahan seseorang kepada orang lain di mana akan diumpat merasa marah dan benci dengan perkara yang didengari tentang dirinya. Bercerita tentang keburukan dan kelemahan seseorang samalah juga seperti membuka aib seseorang itu kepada orang lain.


Sesiapa ingin menyebut keaiban orang lain agar, elok terlebih dahulu menyebut atau mengira-mengira keaiban yang ada pada diri sendiri. Perbuatan mengumpat akan mendedahkan diri pelakunya pula diumpat oleh orang lain. Ini lumrah alam kerana manusia tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan. Orang lain akan mencari kelemahan dirinya untuk dijadikan bahan umpatan.

Seorang Islam yang beriman tidak akan berusaha atau sengaja mencari kelemahan saudara muslim yang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam daripada (bahaya ancaman) lidah dan tangannya.” (Hadis riwayat Bukhari)  

Usaha dan niat menjauhkan sikap mengumpat perlu ditanam dalam diri. Kesedaran itu diharapkan akan dapat menghalang perbuatan mengumpat berlaku dengan sewenang-wenang atau dianggap satu kebanggaan melakukannya. 

Satu kategori mengumpat yang banyak tidak disedari ialah berkaitan bahan lawak. Perbuatan dan perkataan bergurau yang menggunakan perkataan atau perbuatan yang melambangkan keburukan seseorang juga dikira mengumpat.

Rasulullah SAW pernah menegur Aisyah kerana berkata, ‘alangkah pendeknya perempuan itu’ kepada seorang perempuan tua yang datang berjumpa dengan baginda. Kata-kata sedemikian turut dianggap mengumpat kerana menyebut satu kelemahan sifat orang lain dengan memperkecil-kecilnya.

Masyarakat kita sering menggunakan lambang fizikal seseorang sebagai panggilan untuk melawak seperti gelaran botak, buncit dan hitam. Ada juga menyebut perkataan itu dengan tujuan panggilan ‘mesra’.

Memang kita boleh memanggil seseorang dengan gelaran itu jika orang itu bersetuju atau tidak marah. Tetapi fikirkan, elokkah kita memanggil seseorang dengan gelaran melambangkan kekurangannya, walaupun dia tidak marah akan panggilan itu.

Cuba andaikan kita dipanggil dengan gelaran itu. Tentulah kita tidak suka dipanggil begitu. Kenapa mesti berlawak dengan menyebabkan orang lain menanggung malu. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim).

Perbuatan mengumpat memang sukar untuk dihindarkan sepenuhnya. Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila bercakap. Sebenarnya, banyak orang tidak sedar perbuatannya dikira mengumpat apabila terlepas cakap atau terlalu ghairah untuk memperkatakan sesuatu mengenai orang lain. Malah ada mengatakan apa yang diceritakan bukan hendak mengumpat, sedangkan itu sebenarnya mengumpat.

Disebabkan mengumpat sudah terlalu biasa dilakukan, maka tidak dirasakan lagi dirasakan sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan secara mendalam. Jangan pandang mudah perkara ini. Berusahalah mengelak dosa mengumpat seperti mana kita mengelak daripada melakukan dosa-dosa besar lain.

Mengumpat boleh diumpamakan seperti penyakit dan setiap penyakit ada ubatnya. Ubat bagi mengumpat ialah zikir. Perbanyakan zikir dapat menghindarkan diri daripada perbuatan mengumpat. Ini kerana hati yang bersih akan terhindar melakukan perkara buruk.

Perbuatan mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, miskipun dia berada di dalam rumahnya sendiri.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Maksud hadis itu dengan jelas membuktikan orang mengumpat dikategorikan sebagai belum beriman dengan hatinya, biarpun lidahnya mengaku sudah beriman. Orang yang benar-benar beriman akan menjauhkan perbuatan mengumpat.

Orang melakukan mengumpat akan mendapat kerugian amat besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mana mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abu Daud)

Tentulah tiada siapa yang mahu muflis di akhirat nanti. Kebaikan yang dilakukan di dunia diharapkan dapat menjadi bekalan di akhirat. Malang sekali akibat perbuatan mengumpat, amalan kebajikan itu menjadi rosak kerana pahalanya diserahkan kepada orang yag diumpat.

Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksdud: "Sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya melibatkan maruah (penghormatan) atau sebagainya, maka lebih baik dia memohon kemaafan kepada orang itu sebelum tiba hari di mana dinar dan dirham tidak lagi diperlukan. Jika dia mempunyai apa-apa kebaikan, perkara itu akan ditarik daripadanya sebagai balasan ke atas kejahatan yang dibuat. Jika dia tidak ada sebarang amalan kebaikan, maka kejahatan orang yang diumpat itu akan diletakkan kepadanya" (Hadis Riwayat Bukhari) 

No comments:

Post a Comment