Sunday, 8 July 2018

BULATAN GOK KAPUR

Bulatan Gok Kapur adalah 'simpang empat' Jalan Wakaf Mek Zainab, Jalan Pantai Cahaya Bulan dan dua Jalan Gok Kapur. Bulatan Gok Kapur terletak di Kampung Cina. Pengguna dari Kota Bharu melalui Jalan Wakaf Mek Zainab melepasi jambatan merentangi Sungai Pengkalan Chepa atau juga dikenali Sungai Keladi atau Sungai Budor kira-kira 200 meter akan menemui Bulatan Gok Kapur.

Pengguna  Jalan Wakaf Mek Zainab dari pukul 6 memasuki Bulatan Gok Kapur. Laluan pukul 9 dikenali Jalan Gok Kapur yang membawa kepada Pasar Gok Kapur dan disambungkan Lorong Sungai Budor yang boleh terus ke Jalan Atas Paloh. Laluan pukul 12 juga akan menemui satu lagi jalan yang juga dikenali Jalan Gok Kapur yang jalan ini mati di tebing Sungai Kelantan hanya beberapa ratus meter sahaja di hadapan.

Laluan pukul 3 pula memasuki Jalan Pantai Cahaya Bulan yang dahulunya dikenali Jalan Cinta Berahi atau Jalan PCB adalah Jalan Persekutuan 223. Sebelum itu Jalan Pantai Cahaya Bulan dikategorikan Jalan Negeri D 1. Permulaan Jalan Pantai Cahaya Bulan dikira dari Bulatan Gok Kapur sehinggalah ke tepi Pantai Cahaya Bulan. Jarak keseluruhan Jalan Pantai Cahaya Bulan ialah 10.5 kilometer.

Antara kampung yang dilalui Jalan Pantai Cahaya Bulan ialah Kampung Penambang, Kampung Redang, Kampung Tikat, Kampung Banggol, Kampung Tok Betek, Kampung Buluh, Kampung Kijang, Kampung Padang Pasir Luas dan Kampung Semut Api.

Selain untuk ke kampung di atas, pengguna melalui Bulatan Gok Kapur juga untuk menuju ke Kampung Pulau Pisang, Kampung Keseng, Kampung Pulau Kundur, Kampung Kuala Besar dan mereka yang ingin ke beberapa buah pulau di delta Sungai Kelantan.

No comments:

Post a Comment