Friday 6 July 2018

KEBERKATAN BERKONGSI REZEKI HASIL KEBUN


Bertuah ada kebun buah-buahan. Tidak kisah jenis apa pokok yang ada dalam kebun itu. Buah durian, buah rambutan, buah manggis, buah duku dan macam-mcam jenis lagi memang banyak ditanam di kebun mahupun berhampiran kawasan rumah. 

Bukan susah hendak tanam pokok buah-buahan. Dengan sedikit usaha dan modal membeli benih serta baja, pelbagai jenis pokok buah boleh ditanam. Menjaga pokok buah tidak sukar asal bersabar menunggu hasil.

Untung ada kebun buah memang besar. Usaha pada permulaan tanam pokok buah berkekalan hingga berpuluh-puluh tahun. Ada yang masih mengeluarkan hasil hingga beberapa generasi dari datuk, bapa, anak dan cucu.

Jadi, sesiapa ada tanah kosong yang boleh dijadikan kebun, jangan bertangguh untuk mula menanam pokok buah-buahan. Keluarkan sedikit modal dan keringat. Banyak baka pokok buah yang cepat mengeluarkan hasil berbanding baka biasa. Hasilnya juga lebih lebat dan berkualiti.

Pokok buah boleh tahan lama dan terus mengeluarkan hasil. Namun, ada yang terpaksa menebang pokok buah yang masih produktif semata-mata kerana kawasan kebun ingin digunakan untuk tujuan lain seperti membina rumah.

Ada petua orang lama mengenai bagaimana ingin supaya pokok buah mengeluarkan hasil lebat dan berkualiti. Kata orang tua, hasil kebun atau pokok yang mengeluarkan buah itu kena kongsi dengan jiran-jiran. 

Paling baik ketika buah baru gugur atau boleh dipetik. Itu dipanggil 'kepala dusun'. Jangan fikir sangat soal untuk mendapat untung awal dengan menjual buah baru itu. 

Memang pada ketika itu harga mahal, tetapi berkongsi dengan jiran tanda bersyukur itu lebih memberi kepuasan berbanding dengan keuntungan wang ringgit.

Berkongsi hasil kebun akan mendapat keberkatan. Pokok akan berbuah lebih lebat pada musim akan datang. Hasilnya bertambah-tambah. Untungnya juga semakin meningkat. Yakinlah dengan janji Allah tentang keuntungan jika berkongsi dan bersedekah.

No comments:

Post a Comment