Thursday 7 June 2018

SEJARAH HIDUP SYEIKH MUHAMMAD AL-GHAZALI

Syeikh Muhammad al-Ghazali dilahirkan di kampung Nakla al-‘Inat di daerah Ayta al-Barud di negeri Bahira, Mesir pada 22 Sepetember 1917. 

Beliau dibesarkan dalam keluarga yang kuat agama. Bapa beliau memberi nama Muhammad al-Ghazali sempena mengambil nama Abu Hamid al-Ghazali (m. 505H) kerana bapanya cenderung ke arah kesufian. Beliau merupakan anak sulung daripada 7 adik beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya. Sejak kecil lagi beliau sudah menunjukkan ciri-ciri keilmuan yang unggul dengan kemampuan menghafal al-Quran ketika berumur 10 tahun. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kolej Agama Iskandariah, Mesir.

Semasa memasuki sekolah peringkat rendah usianya baharu menjangkau sebelas tahun iaitu pada tahun 1928. Beliau meneruskan pengajian ke Universiti al-Azhar pada tahun 1937 dan lulus dari Fakulti Usuluddin pada tahun 1941.

Di Fakulti Usuluddin, beliau telah berguru dengan ulama-ulama besar al-Azhar, di antaranya Abd Azim al-Zarqani, Mahmud Shaltut, Muhammad Yusuf Musa dan Muhammad Ghallab.

Pada tahun 1937, Syeikh Muhammad al-Ghazali telah berkecimpung dengan gerakan Ikhwan Muslimun pimpinan Hasan al-Banna, dengan menjadi ahli gerakan ini. 

Sejak dari itu, beliau telah bergiat cergas dalam dakwah dan banyak pemikiran, pengalaman dan didikan yang diambil dari Hasan al-Banna.

Pada tahun 1943, Syeikh Muhammad al-Ghazali menerima ijazah Diploma Pendidikan pengkhususan Bahasa Arab dan Kesusasteraan dan ijazah Pengkhususan Dakwah daripada Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar.

Syeikh Muhammad al-Ghazali merupakan anak didikan Hasan al-Banna dan ulama besar al-Azhar. Muhammad al-Ghazali begitu terkesan dengan didikan dari Hasan al-Banna. Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna sebagai pendorong dan pembimbingnya dalam medan dakwah.

Menurut Muhammad al-Ghazali, beliau pertama kali berjumpa dengan Hasan al-Banna ketika menjadi penuntut di Kolej Agama Iskandariah semasa berumur lebih kurang 20 tahun.

Antara kesan terhadap jiwanya itulah beliau telah mengarang kitab Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyyah li al-Muslimin yang menjelaskan Usul ‘Ishrin (Asas 20 Perkara) yang ditulis oleh Hasan al-Banna. Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna seorang pejuang yang ikhlas, mempunyai peribadi yang mulia dan pentafsir al-Quran yang baik. 

Beliau mempunyai kelebihan kerana dapat memahami uslub yang susah lalu disampaikan kepada orang ramai dengan uslub yang begitu menarik dan mudah difahami.

Muhammad al-Ghazali juga terkesan dengan didikan ulama-ulama besar al-Azhar. Beliau mengakui terpengaruh dengan didikan Abd al-Azim al-Zarqani, guru tafsir dalam Fakulti Usuluddin. 

Di Kolej Agama Iskandariah, beliau terpengaruh dari gurunya yang bernama Ibrahim al-Gharbawi dan Abd al-Azim Bilal, guru pendidikan psikologi. Beliau juga terpengaruh dengan Mahmud Shaltut, guru dalam bidang Tafsir, dan kemudian menjadi Shaykh al-Azhar.

Begitulah tokoh-tokoh ulama yang mempengaruhi jiwa Muhammad al-Ghazali sehingga beliau tidak mengenal erti penat dan lelah, sanggup dipapah di serata dunia semata-mata untuk menyebarkan dakwah serta meninggikan kalimah Allah yang mulia.

Muhammad al-Ghazali merupakan seorang penulis sejak beliau menuntut di Universiti al-Azhar dalam usia yang masih muda. Menurutnya, masa yang paling baik baginya menulis ialah selepas solat subuh. 

Muhammad al-Ghazali menjadi penulis dalam akhbar al-Muslimun, al-Nazir, Liwa’ al-Islami, Mimbar al-Islam, Majalah al-Azhar, dan lain-lain akhbar di Mesir.

Di Arab Saudi, beliau menulis di akhbar al-Da‘wah, al-Tadaman al-Islami, dan Majalah Rabitah. Sementara di Qatar dalam majalah Ummah dan di Kuwayt dalam majalah al-Waei al-Islami. 

Banyak pemikiran yang diutarakan dalam tulisan-tulisannya sehingga beliau dikenali sebagai Adib al-Da‘wah.

Pada 21 Julai 1981, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Kementerian Wakaf, Bahagian Dakwah. Beliau juga pernah menjadi imam dan khatib di Masjid al-Azhar, Masjid Atabah al-Khadra’ dan Masjid Amru bin al-As.

Dalam bidang akademik, Muhammad al-Ghazali pernah bertugas sebagai Profesor di Universiti Qatar dan mengetuai Lembaga Akademik Fakulti Pengajian Islam, Universiti Amir Abd al-Qadir di Algeria. 

Beliau juga pernah menjadi tenaga pengajar di Universiti Umm al-Qura, Mekah. Beliau juga pernah mengajar di Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin di Universiti al-Azhar.

Semasa hayatnya, Muhammad al-Ghazali pernah menerima anugerah Ijazah al-Malik Faysal dalam bidang Khidmat Islam pada tahun 1989, Anugerah Penulis pada tahun 1991, Anugerah Penghargaan Negara Mesir pada tahun 1992 dalam bidang Ilmu Kemasyarakatan. Anugerah Presiden bagi kesarjanaan yang cemerlang Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 1995.

Pada tahun-tahun terakhir sebelum meninggal dunia, beliau menjadi kolumnis tetap bagi surat khabar mingguan Sha‘ab di Mesir atas tajuk “Hadha Dinuna” dan akhbar al-Muslimin atas tajuk “al-Haq Murr”.

Karya-Karyanya

1. Al-Islam wa al-Awda‘ al-Iqtisadiyyah (Islam dan Kedudukan Ekonomi), Dar al-Rayan li Turath, al-Qahirah, Cet. Kelapan, 1987.
2. Al-Islam wa al-Manhaj al-Istirakiyyah (Islam dan Metodologi Sosialis), Dar al-Kitab al-Hadithah, al-Qahirah, t.t.
3. Islam wa Istibdad al-Siyasi (Islam dan Politik Diktator), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Ketiga, 1984.
4. Islam Muftara ‘alayh bayn Shuyu‘in wa al-Rasumaliyyin (Salah Faham Terhadap Islam : Antara Tentangan Komunis dan Kapitalis), Dar al-Kitab al-Islamiyyah, al-Qahirah, t.t.
5. Min Huna Na‘lam (Dari Sini Kita Memahami), Nahdah Misr, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1997.
6. Ta’amulat fi Din wa ‘l-Hayat (Penghayatan Pada Agama dan Kehidupan), Dar al-Da‘wah, Iskandariah, 1992.
7. Khuluq al-Muslim (Peribadi Orang Islam), Dar al-Rayan, al-Qahirah, 1980.
8. ‘Aqidah al-Muslim (Akidah Muslim),Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, 1980.
9. Al-Ta‘asub wa al-Tasamuh (Ekstremisme dan Toleransi), Dar al-Tawjiz wa al-Nashar al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1993.
10. Fi Mawkib al-Da‘wah (Dalam Perjalanan Dakwah), Dar al-Kitab al-‘Arabi, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1957.

Muhammad al-Ghazali telah meninggalkan khazanah ilmu yang amat bernilai untuk generasi kini menerokainya. Beliau telah menghasilkan lebih dari 60 buah kitab dalam bidang kajian pemikiran Islam dan dakwah Islamiah.

Seorang wartawan pernah bertanya kepada beliau mengenai sumbangannya dalam medan dakwah melalui buku-bukunya lalu beliau menjawab dengan penuh rendah diri bahawa tidak berpuashati apa yang telah beliau sumbangkan kepada dunia ilmu Islam. Beliau bercita-cita jikalau umur ini boleh kembali semula, beliau akan berkhidmat untuk Islam lebih dari apa yang ada sekarang.

Pandangan Ulama Mengenainya
Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai seorang pendakwah yang ulung, yang keseluruhan hidup dan waktunya berkhidmat untuk Islam, mempunyai ketegasan dan pendirian yang tetap.

Sayyid Ahmad Abd al-Hadi al-Qasibi, ketua Tariqat Sufi menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai seorang yang mempunyai pemikiran bernas, perkataan yang lembut, kefahaman yang mendalam bagi maqasid agama dan pandangan yang ideal dalam kebangkitan umat. Beliau meninggal dunia dalam keadaan berjuang pada jalan Allah dan menjadi contoh teladan buat generasi selepasnya.

Mahmud Hamdi Zaqzuq, Menteri Wakaf Mesir menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai contoh bagi setiap para pendakwah untuk mengikuti perjalanan dan metodologi dakwahnya. Kematiannya merupakan kehilangan yang besar dalam medan dakwah di Mesir dan dunia Islam keseluruhannya.

Muhammad ‘Imarah seorang pemikir Islam dari Mesir menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai tokoh ulama mujaddid dalam pemikiran Islam pada masa kini, terdapat dalam diri dan pemikirannya metodologi pengetahuan Islam yang menggabungkan nas dan akal di samping ilmu-ilmu semasa.

‘Umar Hashim, Rektor Universiti al-Azhar menyifatkan al-Ghazali sebagai seorang mujaddid yang mempunyai keistimewaan tersendiri dalam pemikiran dan ijtihadnya. Beliau meminta generasi muda kini mencontohi manhajnya dalam kehidupan mereka.

Wafatnya
Beliau telah meninggal dunia di Riyadh pada 9 Mac 1996 selepas diserang sakit jantung. Beliau telah dimakamkan di perkuburan al-Baqi‘, Madinah al-Munawarah berdekatan dengan makam anak Nabi Muhammad -Ibrahim dan Malik bin Anas iaitu lebih kurang 15 meter dari masjid al-Nabawi.

Jenazahnya telah disembahyangkan oleh Huzayfi di Masjid al-Nabawi. Allah telah memuliakannya sehingga beliau dimakamkan berhampiran makam Nabi Muhammad s.a.w sehingga penggali kubur bertanya siapakah yang akan dikebumikan di tempat yang mulia ini yang begitu dekat dengan Masjid Rasulullah s.a.w lalu mereka memberitahu orangnya ialah Muhammad al-Ghazali.

No comments:

Post a Comment