Saturday 9 June 2018

LELAKI HARAM SERUPA PEREMPUAN


Mahkamah Persekutuan pada 7 Okt 2015 mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan adalah tidak berperlembagaan. 

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan ketika membenarkan bantahan awal kerajaan Negeri Sembilan dan lima yang lain berhubung permohonan semakan kehakiman difailkan tiga mak andam bagi mencabar Enakmen Syariah negeri yang melarang lelaki berpakaian wanita.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan itu diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim. Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan untuk mencabar kesahihan Seksyen berkenaan tidak sepatutnya dibuat melalui permohonan semakan kehakiman.

Pada 11 Oktober 2012, Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan semakan kehakiman Muhammad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, dan memutuskan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah diketepikan kerana mereka dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam. 

Ketiga-tiga mereka kemudian memfailkan rayuan dan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan itu selepas mengisytiharkan ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah, tidak sah.

Persoalan melarang lelaki menyerupai perempuan dan sebaliknya adalah berdasarkan kepada ketetapan hukum Islam. Justeru, perkara ini bukan saja difatwakan di Negeri Sembilan, bahkan di negeri-negeri lain. Contohnya di Perak seperti yang telah diwartakan 10 Jun 2010. Kandungan warta itu seperti berikut:

BAHAWASANYA Jawatankuasa Fatwa, pada menjalankan kuasanya di bawah seksyen 36 dan seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 (Enakmen 4 tahun 2004), telah menyediakan fatwa yang terkandung dalam ini:  Dan bahawasnya menurut seksyen 37 Enakmen yang sama, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan telah menperkenankan penyiaran fatwa ini dalam Warta dan Kerajaan Negeri telah dimaklumkan tentang fatwa ini: Maka, oleh yang demikian, pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Jawatankuasa fatwa, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat dan menyiarkan fatwa yang berikut: "Pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki yang menyerupai wanita, (mak nyah/pondan) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah HARAM di sisi Islam. Ibu bapa dan masyarakat Islam hendaklah memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan, tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah"  

Keterangan/Hujah: 
1. Dalam menyatakan isu berkaitan wanita menyerupai lelaki, majoroti ulama bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan tersebut sama seperti lelaki dilarang menyerupai wanita. Merujuk kepada kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaili menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki. Daripada Ibn Anas berkata Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (Hadis riwayat Bukhari)

Maksud menyerupai dalam konteks hadis di atas termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menerusi bukunya Fatawa wa Rasai"il Lil Nisa" menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai kaum wanita sama ada dari aspek tingkah laku, percakapan, perhiasan, cara berpakaian dan sebagainya dalam perkara yang dikhususkan untuk wanita. Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki. Daripada Abi Hurairah berkata: Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki. (Hadis riwayat Abu Daud)

Status Penwartaan: Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 10 Jun, 2010
Nombor Rujukan: MNPK.A351.1ST/01/7 JLD 2;PU.Pk.07/2001
Akta/Enakmen: Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004

Dinyatakan bahawa kejadian manusia merupakan sebaik-baik ciptaan Allah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Tin ayat 4 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."

Hikmah manusia dijadikan secara berpasangan adalah untuk mengembangkan zuriat keturunan manusia yang diredai syarak.

Oleh yang demikian, setiap manusia itu hendaklah bersyukur dengan ciptaan Allah SW. Maka janganlah diubah daripada lelaki yang dilahirkan hakikinya sebagai lelaki menyerupai  perempuan begitulah sebaliknya.

No comments:

Post a Comment