Sunday, 24 June 2018

BERI PELUANG PENZINA BERTAUBAT

Persepsi negatif masyarakat terhadap dosa penzina agaknya melampau sampai ke tahap tiada ampun lagi. Jika setakat mencela perbuatan terkutuk itu tidaklah berat ditanggung penzina yang mahu bertaubat. Tetapi jika sampai tidak menaruh belas kasihan bahkan dipulaukan dan dikeji, itu bukan tuntutan agama.

Malang sungguh, saat terlanjur mereka diberhentikan daripada pengajian, dipulau keluarga, tiada yang sudi menasihati dan membimbing, jalan taubat ditutup rapat oleh masyarakat sekeliling. Jika kita tidak mengubah persepsi terhadap wanita-wanita malang ini selamanya gejala buang bayi akan berleluasa.

Apabila berlaku fenomena membuang bayi, kita sepakat mengutuk sekeras-kerasnya kejahatan ini tanpa menilai mengapa ia berlaku. Adakah disebabkan budaya masyarakat yang jauh menyeleweng daripada agama, jika benar mengapa ramai orang Islam yang terbabit?  

Mungkin orang kafir lebih bijak menghapuskan benih perzinaan itu dengan melakukan pengguguran, tetapi persoalannya adalah sikap membunuh darah daging yang sempurna bentuk jasad dan sifatnya itu lebih kejam daripada pengguguran pada awal kandungan.  

Kita tidak mempersoalkan tindakan mana lebih kejam kerana memang kedua-duanya adalah dosa besar dalam Islam. Tetapi umat Islam perlu memiliki sifat kemanusiaan dan jangan menghukum teruk wanita yang berzina supaya mereka tidak takut dan kembali melakukan dosa besar dengan membuang bayi.  

Bayi tidak berdosa itu terbunuh mungkin disebabkan proses kelahiran yang disembunyikan akibat perasaan takut dan malu, bukan kerana sengaja mahu dibunuh. Bagaimana jika ia bukan hasil perzinaan, kerana jenayah rogol misalnya atau 'haruan makan anak'.  

Disebabkan masyarakat tiada belas kasihan dan keluarga berantakan, maka wanita yang terbabit berusaha menutupi dosa dengan melahirkan sendiri anak tak berdosa itu. Mustahil mereka mahu membunuh bayi selepas kelahiran. Kalau berniat membunuh, mereka akan melakukannya pada awal kandungan lagi.  

Mungkin sesetengahnya tidak sempat menggugurkan kandungan dan terpaksa menunggu saat kelahiran, tetapi pada masa menunggu itu mengapa keluarga dan masyarakat tidak mahu memaafkan sehingga wanita ini putus asa dan akhirnya membunuh bayinya.

Keluarga dan masyarakat berperanan besar dalam menyelesaikan fenomena ini. Orang Islam yang taat jangan sesekali memandang serong wanita yang sudah bertaubat. Mereka yang terlanjur dan mahu bertaubat sepatutnya dibimbing, dikasihani dan ditunjukkan jalan keluar. Jika kita bersikap keras, membenci dan terus memusuhi mereka tanpa memberi peluang, fenomena sebegini akan berlarutan.

Kita dituntut untuk terpanggil dan sensitif dengan gejala tidak sihat di sekeliling rumah, tempat kerja, lingkungan di seluruh negeri kita. Jika ada anak saudara yang terlanjur, mampukah kita memberi kemaafan dan menanggung sama aib itu, atau kita menutupinya kerana takut dicemuh masyarakat kemudian tidak peduli dengan perbuatannya bahkan melarang anak perempuan kita bergaul rapat dengannya?

Bukankah lebih baik mengajar anak-anak kita menolong, menasihat dan mencari jalan keluar supaya taubatnya benar-benar nasuha? Malangnya, cerita keji itu tetap dikenang selamanya dan dijadikan cacian dalam keluarga sendiri padahal wanita itu sudah bertaubat.

Rasulullah SAW melayan dengan baik wanita yang berzina dan telah bertaubat. Mengikut satu riwayat, ada seorang wanita datang kepada Rasulullah sedang dirinya hamil kerana berzina. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah aku telah melakukan kesalahan yang menyebabkan aku terkena hudud, maka laksanakanlah hudud itu kepadaku.

Kemudian Rasulullah SAW memanggil wali perempuan ini dan bersabda: “Berbuat baiklah kepadanya apabila sudah melahirkan bawalah dia kepadaku." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW tidak sesekali mengeji wanita yang ingin bertaubat ini, tidak mencari dan mengheret lelaki yang melakukannya dan tidak menjatuhkan hudud ke atasnya saat itu juga. Bahkan Rasulullah SAW berpesan kepada ayahnya atau bapa saudaranya atau saudara lelakinya supaya menjaga wanita ini baik-baik.

Betapa lembutnya akhlak Nabi SAW, sedangkan ramai anak-anak perempuan di sekelilingnya terlanjur tak dapat menahan marah ke atas mereka. Sehingga menyebabkan wanita itu tetap dalam kejahatannya bahkan bertambah jahat lagi dengan membuang bayi mereka.

Kemudian selepas wanita itu melahirkan dan cukup tempoh penyusuan bayinya, sesudah dia meninggal dalam hudud, baginda mensolatkannya.

Melihatkan kepada tindakan Rasulullah SAW itu, maka Umar bertanya: “Wahai Rasulullah mengapa engkau mensolatkan wanita ini padahal dia berzina.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wanita ini benar-benar bertaubat seandainya taubat itu dibahagi kepada 70 orang Madinah nescaya masih cukup. Pernahkah kamu mendapatkan orang yang lebih utama daripada seorang yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah".

Apa yang dilakukan Rasulullah SAW itu mengingatkan mengenai kedudukan taubat lebih tinggi lagi daripada segala kejahatan yang pernah dilakukan manusia.

Perbuatan zina diharamkan kerana ia perbuatan keji melanggar ketetapan agama. Besar dosa mereka melakukan zina dan membawa lebih banyak keburukan lain. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." (Surah al-Israk, ayat 32).

Sesungguh perbuatan membunuh amat ditegah dalam Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu membunuh orang yang diharamkan oleh Allah (membunuhnya) kecuali dengan jalan yang sah." (Surah al-Israk, ayat 33).

Islam menyediakan langkah pencegahan untuk mengelak berlaku perbuatan zina. Lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan tidak dibenarkan berada berdua-dua di tempat terlindung.  

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  "Jangan sekali seorang lelaki bersama-sama dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana yang ketiganya adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya." (Hadis riwayat Ahmad).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka kahwinlah, kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan barangsiapa belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu mengurangi nafsu syahwat.”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sesungguhnya setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah atau bersih daripada sebarang dosa yang dilakukan oleh ibu bapanya. Biarpun dilahirkan sebagai anak zina, anak itu masih berpeluang hidup sebagai insan mulia jika dididik dengan baik.  

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci).  Ibu bapalah yang mencorakkan sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi."  (Hadis riwayat Bukhri dan Muslim).

Oleh itu, hal-hal yang berkaitan akidah dan keimanan mesti dijadikan teras dalam usaha membina satu sistem hidup yang terbaik di dunia ini. Ini sesuai dengan Islam sebagai cara hidup yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada manusia melalui Nabi Muhammad SAW. 

Setiap perkara yang disuruh pastinya mendatangkan kebaikan, sedangkan amalan yang dilarang jika diteruskan juga akan menyebabkan berlaku keburukan yang bukan saja kesannya dirasai di dunia ini, bahkan lebih-lebih lagi di akhirat nanti. 

Sesiapa yang mematuhi peraturan agama pasti hidupnya bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat. Manakala mereka yang ingkar perintah Allah SWT  akan melalui kehidupan yang gelap di dunia dan bakal menanggung azab di akhirat.

No comments:

Post a Comment