Monday 4 June 2018

KESENANGAN HIDUP SEBAGAI UJIAN


Kesenangan hidup di dunia adalah ujian bagi menentukan kekuatan iman seseorang. Sesiapa menjadikan kesenangan hidup di dunia sebagai matlamat utama, maka dia akan beroleh kesesatan. 

Mereka tertipu dengan keindahan dunia dan melupai janji Allah untuk kehidupan akhirat. Sesiapa berjaya menahan dirinya daripada melakukan perbuatan dusta berkaitan kekayaan, maka dia beroleh rahmat daripada Allah.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 64 bermaksud: “Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahan, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat), tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya akhirat itu ialah kehidupan sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat.”

Dalam masyarakat Barat percaya kepada kebebasan mekanisma ekonomi. Sistem ekonomi kapitalis memberi hak kepada sesiapa sahaja mengaut keuntungan, termasuk melakukan penindasan sesama manusia.   

Doktrin ekonomi kapitalis menjadikan nafsu sebagai raja. Sebab itu, apa sahaja diingini dilakukan walaupun bertentangan dengan norma kemanusiaan. 

Perniagaan judi, arak, hiburan keterlaluan, urusan berbentuk spekulasi dan monopoli menjadi urusniaga mengaut keuntungan besar. Sedangkan masyarakat menanggung kerugian akibatnya. 

Kapitalis tidak melarang monopoli disebabkan ia adalah cara membolehkan pemodal mendapat keuntungan besar. Akan tetapi, Islam mengharamkan tindakan monopoli kerana melanggar konsep menjaga kepentingan umum. Islam menganjurkan agar kerjasama dilakukan dalam urusan perniagaan.  

Konsep monopoli ialah perbuatan yang dilakukan bagi menghalang pihak lain menyertai sama atau terpaksa menarik diri kerana tidak dapat bertahan. Hal ini diadakan secara memberi tekanan harga, kawalan hak, menutup peluang dan mewujudkan persekitaran yang mana pihak lain tidak mampu menggugat mereka.  

Kapitalis amat percaya kepada konsep kecerdikan, peluang dan kesungguhan untuk memperoleh apa yang diimpikan. Sesiapa yang mempunyai kualiti dan kuantiti, dia mendapat kejayaan cemerlang. 

Konsep ini tidak bertentangan dengan tuntutan agama. Tetapi, persoalan yang timbul ialah apabila amalan tersebut dilakukan secara bertentangan dengan kehendak agama seperti melibatkan penipuan, kekerasan, merampas hak, tamak dan angkuh apa yang dimiliki.

Kesan ini memang turut menular dalam masyarakat Islam. Semangat mementingkan diri sendiri, keinginan hidup mewah, ingin terus berkuasa, dan megah dengan apa yang dimiliki semakin mewarnai kehidupan orang Islam yang semakin jauh dari nilai-nilai yang dianjurkan oleh agama. 

Etika pemilikan harta kapitalis tidak membenarkan sesiapa masuk campur dalam pengurusan harta mana-mana pihak. Mereka bebas untuk membelanjakan atau membekukan harta mereka.  Harta yang dimiliki di tangan kapitalis adalah hak mutlak mereka. 

Hal ini bertentangan dengan pengurusan harta dalam Islam yang mana harta yang dimiliki turut menjadi hak orang lain yang lahir daripada ibadat zakat dan sedekah. Dengan kata lain harta yang kita miliki, sebahagiannya adalah milik pihak lain yang turut mempunyai hak ke atasnya.

Firman Allah bermaksud: “Dan pada harta mereka (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” (Surah adz-Dzariyat, ayat 19).

Kerajaan Islam berhak memaksa pemilik mengeluarkan zakat mengikut jumlah yang sepatutnya.  Dalam sejarah Islam, Saidina Abu Bakar pernah memerangi orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat. Peperangan itu disebut Harb al-Riddah (Perang Kemurtadan).

Golongan kapitalis hanya mengeluarkan harta mereka jika dirasakan ada kebaikan yang membolehkan mereka terus berkuasa. Setiap wang yang dibelanjakan diharapkan agar dapat memberi pulangan keuntungan.   

Sebab itu, jika mereka menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, maka difikirkan apakah keuntungan diperoleh sama ada dalam bentuk kebendaan, pengiktirafan atau kebanggaan diri.   

Orang beriman membelanjakan hartanya semata-mata memenuhi kehendak agama. Mengeluarkan zakat adalah wajib bagi harta yang cukup haul dan nisabnya. Manakala sedekah adalah amalan yang amat dituntut dilakukan bagi sesiapa yang mampu.

No comments:

Post a Comment