Friday 25 May 2018

APABILA GAGAL SERU KEBAIKAN CEGAH KEBURUKAN


Apabila tanggungjawab amar maruf dan nahy mungkar tidak dilaksanakan, masyarakat dilanda pelbagai budaya dan akhlak yang negatif. Kalaupun ada suruhan kepada kebaikan dan larangan dari kejahatan hanya bersifat terpilih bukan menyeluruh. Pada masa sama keburukan masih dibenar dan digalakkan.


Hal ini boleh kita lihat saban hari di media-media kita. Sebabnya, sehinggakan media kerajaan, soal komersial dan keuntungan kadang-kala lebih dititik beratkan dibandingkan soal pembangunan insan. Tajuk-tajuk forum agama juga banyak yang bersifat komersial.

Maka sebab itu, walaupun ceramah dan forum perdana banyak, masyarakat kita tetap dihujani ujian kerosakan dan kemungkaran kerana ramai yang hanya berani menyuruh kepada kebaikan tetapi tidak berani melarang kemungkaran.

Banyak perkara negatif telah menjalar ke dalam berbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat kita. Daripada isu akidah seperti menghina Islam sehingga kepada gejala sosial yang melampaui batas. Orang ramai tidak lagi peka apabila melihat sesuatu yang ternyata amat mungkar berlaku di hadapan matanya sedangkan mereka mampu mengubahnya.

Akhirnya, masyarakat hidup tanpa mempedulikan arahan Allah. Kemungkaran yang pada mulanya merupakan penyakit kelompok, akhirnya menjelma menjadi barah yang mengancam masyarakat keseluruhannya. Akhirnya, keselamatan, keadilan, minda, bahkan identiti umat Islam itu sendiri terancam.

Ancaman-ancaman ini pada mulanya kelihatan kecil dan kita tidak begitu mempedulikannya. Tapi akhirnya ia menjadi api yang menyala dan sukar untuk dipadamkan lagi.

Firman Allah: "Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya" - (Surah al-Anfal, ayat 25).

Maka sesiapa yang melihat mungkar tetapi dia tidak mencegahnya sedangkan dia mampu, maka dia sebenarnya berdosa. Ramai kita yang tidak perasaan bahawa dia berdosa kerana membiarkan kemungkaran yang dia sebenarnya amat mampu mencegahnya.

No comments:

Post a Comment