Sunday 18 February 2018

DAPAT NASI BUNGKUS LEPAS SOLAT JENAZAH


Berdasarkan pemerhatian (di Kelantan dan mungkin di tempat lain), mereka yang terlibat dalam urusan menyembahyangkan jenazah dan pengembumian akan disedikan makanan (dibungkus).


Akan ada individu ditugaskan untuk mengagih-agihkan bungkusan itu kepada tetamu ketika turun dari rumah (atau tempat jenazah disembahyangkan). Selain makanan, diselitkan juga sampul surat yang mengandungi wang.

Ada juga ahli keluarga yang ditugaskan untuk mengagihkan makanan dan minuman di kawasan perkuburan.

Itu amalan yang sekurang-kurangnya penulis dapat lihat di Kota Bharu, Kelantan. Tidak pasti pula di tempat lain.

Disebabkan amalan itu sudah jadi kebiasaan, dirasakan satu 'langgar' kebiasaan jika tidak dilakukan.

Tentu sekali amalan itu adalah adat setempat dan bukannya tuntutan agama. Jika itu tuntutan agama, sudah pasti ada dinyatakan dalam hadis dan kitab-kitab ulama.

Apakah keharusan keluarga si mati menyediakan atau memberi makanan kepada individu yang terlibat dalam menyembahyangkan jenazah dan pengembumian?

Mari kita lihat pandangan ulama mengenai perkara itu. Sebenarnya terdapat banyak fatwa dari Imam Syafie dan para ulama besar dari kalangan yang bermazhab Syafie telah mengharamkan dan membidahkan perbuatan atau amalan berkaitan menyediakan makanan pada hari kematian dan seterusnya.

Di dalam kitab (اعانة الطالبين) juz 2. tercatat: "Dan dilarang (ditegah/makruh) menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kuburan".

Yang sewajarnya menyediakan makanan untuk keluarga si mati adalah jiran, kerabat si mati atau orang yang datang menziarahi mayat, bukan keluarga (ahli si mati).

Kata Imam Syafie: "Aku suka kalau jiran si mati atau saudara mara si mati menyediakan makanan untuk keluarga si mati pada hari kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka. Sesungguhnya itulah amalan yang sunah. 

Ini bertepatan hadis bermaksud: "Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Jaffar, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)." (Hadis riwayat Tirmizi)

Menurut Imam Syafie, adalah haram mengadakan kenduri arwah dengan menikmati hidangan di rumah si mati, terutama jika si mati termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak yatim hukumnya haram.  

Tegas Imam Syafie lagi, dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bidah.

No comments:

Post a Comment