Tuesday, 23 January 2018

SETERIKA ARANG BARANG ANTIK

Mengikut Kamus Dewan, seterika adalah alat yang dibuat daripada besi dan digunakan untuk menggosok kain baju supaya licin. Seterika arang adalah seterika yang dipanaskan dengan arang. Manakala seterika elektrik adalah seterika yagn dipanaskan dengan tenaga elektrik.

Seterika elektrik boleh dikatakan dikenali atau ada digunakan kebanyakan keluarga. Kerana umumnya orang hanya ada seterika elektrik, maka tidak disebut mengenai seterika arang untuk membezakan antara keduanya. Apabila disebut seterika, maka yang tergambar adalah seterika elektrik.

Seterika arang diperbuat daripada besi atau tembaga dan bentuknya adalah lebih kurang sama dengan bentuk seterika elektrik.

Seterika arang terbahagia dua bahagian. Pada bahagian atasnya ada penutup dan penutup tersebut boleh dibuka tutup bagi meletakkan arang. Bahagian bawah berbentuk licin macam seterika elektrik yang berfungsi untuk menggosok baju atau kain.

Kayu arang terlebih dahulu dibakar sehingga merah membara. Arang sama ada dibakar di atas dapur, kemudian dipindahkan ke dalam seterika arang, atau terus dibakar di dalam seterika arang itu. Badan seterika arang akan ditutup untuk memerangkap haba panas dan digunakan.  

Seterika arang tersebut akan ditekap ke atas kain buruk atau daun pisang terlebih dahulu bagi mengetahui tahap kepanasan seterika arang tersebut untuk disesuaikan dengan pakaian yang ingin digosok.

Beberapa helai pakaian boleh diseterika untuk setiap kali pemanasan. Jika seterika arang kurang panas, maka akan digantikan dengan bara baru atau menyalakan semula api arang.

Semasa proses menggosok menggunakan seterika arang perlu berhati-hati mengelak percikan bara arang yang akan merosakkan baju. Percikan bara keluar melalui sisi badan seterika arang yang ada lubang angin bagi memberi ruang udara untuk memastikan arang terus membara.

Seterika arang kini telah digantikan dengan seterika elektrik. Namun, bagi penggemar barang antik, seterika arang antara yang menjadi rebutan. 

No comments:

Post a Comment