Sunday 18 February 2018

HUKUM SEDIA MAKANAN OLEH KELUARGA SI MATI


Terdapat banyak fatwa-fatwa dari Imam Syafie dan para ulama besar dari kalangan yang bermazhab Syafie telah mengharamkan dan membidahkan perbuatan atau amalan berkaitan mengadakan tahlil dan menyediakan makanan pada hari kematian dan seterusnya.

Di dalam kitab (اعانة الطالبين) juz 2. tercatat: "Dan dilarang (ditegah/makruh) menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kuburan".

Yang sewajarnya menyediakan makanan untuk keluarga si mati adalah jiran, kerabat si mati atau orang yang datang menziarahi mayat, bukan keluarga (ahli si mati).

Kata Imam Syafie: "Aku suka kalau jiran si mati atau saudara mara si mati menyediakan makanan untuk keluarga si mati pada hari kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka. Sesungguhnya itulah amalan yang sunah. 

Ini bertepatan hadis bermaksud: "Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Jaffar, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)." (Hadis riwayat Tirmizi)

Menurut Imam Syafie, adalah haram mengadakan kenduri arwah dengan menikmati hidangan di rumah si mati, terutama jika si mati termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak yatim hukumnya haram.  

Tegas Imam Syafie lagi, dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bidah.

Ini bermakna mengadakan kenduri arwah (termasuk tahlilan dan yasinan beramai-ramai) pada hari pertama kematian, ketiga, ketujuh,  keempat puluh dan pada hari-hari lain sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam sekarang adalah perbuatan haram dan bidah menurut fatwa Imam Syafie.

Berkaitan bacaan tahlil, di dalam Tafsir Ibnu Kasir terdapat fatwa Imam Al-Syafie. Firman Allah SWT: “Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. (Surah Al-Najm: ayat 39)

Berdasarkan ayat itu, telah mengistimbat oleh Imam Syafie bahawa membaca (Al-Quran) tidak sampai pahalanya kepada orang mati, kerana bukanlah amalan yang mereka lakukan dan bukan apa yang mereka usahakan.

Oleh itu Nabi SAW tidak mensunatkan untuk dilakukan oleh umatnya dan tidak menyarankan untuk melakukanya dan tidak memberi tunjuk ajar kepada perkara ini dengan nas dan rujukan, dan tidak pernah diriwayatkan daripada satu pun sahabat Nabi SAW. Dan kalaulah baik nescaya mendahului perbuatan ini oleh para sahabat.

No comments:

Post a Comment