Monday 12 February 2018

ASAL USUL MAIN PUTERI

Main puteri atau main teri satu kaedah perubatan tradisi yang amat popular dan diamalkan oleh masyarakat Melayu Kelantan sejak beberapa abad lampau.

Ada beberapa versi mengenai asal usul main puteri. Ada yang menganggap main teri telah bermula sejak zaman cucu Nabi, iaitu Hassan dan Hussein dan perkataan 'teri' itu dirujuk kepada puteri Nabi, Siti Fatimah.

Pendapat lain mengaitkan main puteri dengan Puteri Saadong, tokoh legenda yang pernah ditabalkan sebagai Raja Kelantan. Satu lagi pendapat ialah nama main teri dikaitkan dengan kuih puteri mandi yang dihidangkan sebelum upacara main teri dilangsungkan.

Ada juga mengatakan usaha mematerikan iaitu menyatukan roh dan jiwa yang sakit punca perkataan 'teri' itu digunakan.

Dalam perubatan tradisi main teri terdapat gabungan antara unsur Islam dengan unsur magis dan ritual.

Selepas sahaja upacara 'baca kenduri' yang sebutan bacaannya bercampur antara ayat-ayat al-Quran dengan jampi dan mantera, tok teri akan tampil di depan para pemuzik dan pesakit yang akan diubati.

Khalayak akan menyaksikan upacara menurun yang benar-benar terjadi di hadapan mereka. Pesakit akan diseru dan dibangkitkan angin dari dalam dirinya dan angin sakit itu akan dipindahkan ke dalam diri tok teri yang bertindak sebagai pengantara.

Tok teri akan bersoal jawab dengan tok minduk. Melalui soal jawab antara tok teri dengan tok minduk inilah rahsia penyakit yang dideritai oleh pesakit akan diketahui.

Semasa proses perubatan ini tok teri akan berubah-ubah perwatakannya, seperti menjadi orang cacat, bercakap sengau, menjadi bengis dan garang, menjadi budak terencat akal, menjadi orang tua nyanyuk dan pelbagai watak lain untuk menceritakan kekusutan jiwa pesakit.

Pada bahagian ini khalayak dapat menyaksikan bagaimana aspek lakonan terbentuk semasa main teri dan karakter-karakter ini pasti mencuit hati sehingga mencetuskan gelak-ketawa.

Tok teri akan meminta pemuzik yang mengiring memainkan pelbagai lagu mengikut jiwa pesakit.

Elemen muzik dan unsur nyanyian ini menuntut keupayaan tok teri bagi mengalunkan pelbagai lagu dan rentak.

Lagu-lagu itu seperti lagu paluan bertabuh dalam wayang kulit, kemudian beralih kepada lagu dalam makyung sekiranya pesakit ada kaitan penyakitnya dengan angin Dewa Muda.

Pada masa dulu dikatakan lebih 50 buah lagu dalam Main Teri, namun hari ini, tidak sampai 10 buah lagu 'gerak teri' yang masih dimainkan. Antara lagu-lagu yang lazim dinyanyikan adalah Kijang Mas, Lagu Mengulit, Lagu Pendekar, Lagu Cik Muda, Lagu Menora, Lagu Cik Kojo dan Lagu Abe.

Semasa proses perubatan dengan bacaan jampi dan mantera, bertih iaitu padi yang dibakar atau goreng, dan beras kunyit akan ditaburkan kepada sekeliling bangsal tempat persembahan.

Tok teri akan menjadi lupa melalui proses 'menurun' yang dilakukan dengan iringan muzik oleh awak-awak atau disebut juga sebagai panjak. Gelengan kepala tok teri akan semakin kuat pusingannya mengikut rentak muzik yang dimainkan oleh para panjak.

Ketika inilah pesakit yang sedang berlunjur atau terbaring itu akan bangun menari mengikut paluan muzik oleh panjak-panjak.

Sekiranya pesakit mempunyai angin pendekar, dia akan bersilat dengan tok teri. Tok teri akan melayan pesakit mengikut angin pesakit.

Dalam main teri, alat muzik yang digunakan seperti rebab, serunai, tetawak, gendang, geduk, canang dan juga kesi. Alat-alat muzik ini akan berada di hadapan tok teri yang berdepan dengan tok minduk.

Alunan muzik, terutama rebab dan serunai bukan sahaja mempengaruhi pesakit, bahkan juga penonton yang dikategori 'angin rendah' atau 'angin tohor'. Mereka turut merancau mengikut alunan muzik dan bernafas tidak teratur.

Pengaruh angin tohor ini masih terkesan bagi kebanyak orang tua di Kelantan apabila mendengar tiupan serunai dan diiringi alatan lain. Mereka perlu menjauhkan tempat itu untuk mengelak angin tohor menyerang, sedangkan tidak ramai orang tahu untuk merawat keadaan itu.

No comments:

Post a Comment